Melaka pertimbang naikkan ganjaran jurulatih atlet cemerlang

Melaka pertimbang naikkan ganjaran jurulatih atlet cemerlang

 

ADLY berkata cadangan menaikkan ganjaran
jurulatih atlet yang cemerlang pada edisi SUKMA Perak 2018 akan diputuskan Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Kerk Chee Yee.

PANTAI PUTERI 19 Sept. – Melaka sedang mempertimbangkan cadangan meningkatkan ganjaran jurulatih atlet yang cemerlang ketika temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, cadangan itu akan dibincangkan bersama Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee yang juga ‘Chef de Mission’ negeri sebelum membuat keputusan muktamad.

Katanya, cadangan menambah jumlah ganjaran itu juga melibatkan penilaian dari Chee Yee terhadap prestasi kontinjen SUKMA kali ini.

“Ada beberapa cadangan dan ia telah dibincangkan, tetapi belum dimuktamadkan. Sudah menjadi kebiasaan, mereka yang cemerlang itu diberikan insentif, jadi bentuk insentif itu kita akan maklumkan melalui YB Kerk dan ganjaran itu bergantung kepada keputusan SUKMA yang diraih,” katanya.

Pada edisi SUKMA Sarawak yang lalu, ganjaran RM1,000 kepada jurulatih atlet yang cemerlang pernah dipersoalkan Jurulatih pecut kebangsaan Mohd Poad Kassim yang menyifatkan insentif disampaikan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka itu umpama tidak dihargai.

Mengulas lanjut, Melaka kini berada di tangga ke-9 edisi SUKMA Perak kali ini selepas mengutip 15 emas, 11 perak dan 11 gangsa (setekat semalam).

Atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan akan membawa pulang RM RM5,000.

Manakala, bagi pemenang pingat emas akan menerima wang tunai RM5,000 bagi atlet individu, RM2,500 bagi atlet beregu, RM2,000 bagi atlet bertiga dan berempat serta RM1,000 bagi atlet berpasukan.

Sementara atlet yang meraih pingat perak menerima wang tunai RM3,000 bagi atlet individu, RM1,500 bagi atlet beregu, RM1,500 bagi atlet bertiga dan berempat serta RM750 bagi atlet berpasukan.

Bagi pemenang gangsa pula akan mendapat wang tunai RM1,500 kepada atlet individu, RM800 bagi atlet beregu, RM800 bagi atlet bertiga dan berempat serta RM500 bagi atlet berpasukan.

 

CATEGORIES