Melaka rancang Pelan Tindakan Khas hijaukan Melaka

Melaka rancang Pelan Tindakan Khas hijaukan Melaka

ADLY menyampaikan replika mock cek bernilai RM5,000 kepada pemenang Pertandingan Reka Cipta Logo di Seri Negeri, sebentar tadi.

AYER KEROH 18 Sept. – Kerajaan negeri sedang merangka Pelan Tindakan Khas Pembangunan ‘Urban Reparian Reforestation’ bagi penanaman semula ‘Pokok Hutan’ di kawasan sepanjang Sungai Putat hingga ke pusat pentadbiran kerajaan negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kaedah itu telah lama dilaksanakan
di negara-negara maju, dan Melaka menjadi negeri pertama di negara ini menggunakan kaedah tersebut sebagai sebahagian dari proses melestari dan menghijaukan semula negeri ini.

Menurutnya, konsep tersebut juga mampu memulihara ‘Bio Diversiti’ dan ‘Ecological Network’ supaya kadar serapan nutrient berada pada tahap tertinggi bagi menyerap karbon yang terhasil daripada aktiviti-aktiviti pembangunan khususnya di kawasan bandar.

Katanya, usaha itu diyakini mampu mengimbangi kadar pelepasan karbon untuk memenuhi keperluan oksigen penduduk, justeru meningkatkan keluasan hutan negeri ini yang berbaki 3.14 peratus.

“Jika mengikut (data) Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, kawasan hutan di negeri ini hanya tinggal 3.14 peratus.

“Jumlah itu, tidak termasuk kawasan-kawasan hijau seperti kawasan tanaman sawit, hutan rekriasi dan sebagainya,” katanya.

Adly berkata, kerajaan negeri juga sedang menilai semula kawasan hijau di negeri ini termasuk kawasan hutan untuk meningkatkan peratus kawasan hijau di negeri ini.

Jelasnya, langkah itu akan memberikan gambaran situasi Melaka yang terkenal dengan penjagaan alam sekitar dan konsep hijau untuk generasi akan datang.

Beliau bercakap kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka di Seri Negeri.

Tambahnya lagi, pelan tindakan tersebut dirangka melalui Jabatan Perancangan Bandar, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Jabatan Pengairan Saliran (JPS), Jabatan Perhutanan Negeri Melaka dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga merancang menghijaukan kawasan dan tanah-tanah terbiar yang tiada dalam pelan pembangunan dan pelaburan termasuk di kawasan tambakan laut Klebang dan Banda Hilir bagi keperluan generasi akan datang.

CATEGORIES
TAGS