Melaka sasar 100 sekolah diiktiraf ‘Green Flag’

AYER KEROH 18 Jan. – Kerajaan Negeri Melaka menyasarkan 100 buah sekolah rendah dan menengah daripada jumlah keseluruhan penyertaan program ‘Eco-Schools’ di negeri ini menerima pengiktirafan ‘Green Flag’ menjelang 2022.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sebagai peneraju negeri berteknologi hijau, Melaka akan terus menjadi contoh kepada negeri lain sama ada dari segi teknologi dan infrastruktur dalam melaksanakan amalan hijau.
Katanya, strategi dan kekuatan yang dilaksanakan adalah berdasarkan slogan Pintar, Hijau, Bersih dan ia akan diselaraskan dalam usaha menjadikan Melaka sebagai bandar pintar.
“Kerajaan negeri melalui Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) menyasarkan kira-kira 100 lagi sekolah di negeri itu menyertai Program Eco-Schools dalam tempoh empat tahun bermula tahun ini.
“Sehingga kini, sebanyak 117 sekolah rendah dan menengah di negeri itu telah menyertai Program Eco-Schools dan Melaka merupakan antara negeri yang merekodkan sekolah terbanyak menyertai program itu daripada jumlah keseluruhan 300 sekolah di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, empat sekolah di negeri itu telah menerima anugerah tertinggi iaitu ‘Green Flag’, sembilan sekolah menerima pengiktirafan perak dan empat lagi sekolah menerima pengiktirafan gangsa,” katanya.
Adly berkata demikian kepada media selepas merasmikan penutupan Melaka Eco-School Summit 2019 di Hotel Seri Malaysia di sini, Khamis lalu.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew; Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) S. Chandru; Pengarah Eksekutif Green Growth Asia Foundation (GGAF) Datuk Dr Dionysius S.K. Sharma; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Abu Bakar Sahari dan Ketua Pegawai Eksekutif GGAF, K. Balamurugan.
Katanya Eco-Schools merupakan program pendidikan dan pensijilan alam sekitar yang menggalakkan pihak sekolah menyertainya bagi menangani isu pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar di sekolah mahu pun dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar.
“Inisiatif asas program ini ialah menggalakkan golongan muda melibatkan diri secara langsung dengan persekitaran dan melindunginya secara aktif yang memberi kesan menyeluruh dalam kehidupan seharian.
“Selain itu, ia juga dapat membentuk sikap positif dalam kalangan mereka yang terlibat.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Green Growth Asia Foundation dan WWF kerana sudi menghulur bantuan dan tenaga bagi menggerakkan program Eco-Schools di semua sekolah di negeri ini dengan kerjasama PTHM,” jelasnya.
Terdahulu, Adly telah menyampaikan anugerah ‘Green Flag’ kepada empat sekolah di negeri berkenaan iaitu Sekolah Kebangsaan Air Baruk, Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru dan Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal.