Melaka sasar kutipan zakat RM98 juta tahun ini

Melaka sasar kutipan zakat RM98 juta tahun ini

BANDAR HILIR 6 Mac – “Zakat Melaka (ZM) mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM98 juta pada tahun ini,” kata Ketua Menteri, Adly Zahari.

Beliau memberitahu, bagi merealisasikanya pelbagai perancangan sudah direncanakan agar visi dan misi tersebut dapat dilaksanakan.

Sehubungan itu jelas Adly, sokongan dan bantuan dari semua pihak amat diperlukan bagi mencapai sasaran berkenaan selain mengatur strategi bagi memastikan masyarakat Islam khasnya di Melaka tampil untuk melunaskan kewajipan berzakat.

“Ini kerana dengan berzakat, dana zakat tersebut boleh merapatkan jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin.

“Ini sekali gus dapat membina ketamadunan dan pembangunan sosio ekonomi Islam di negeri ini,” jelasnya.

Adly berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Anugerah Khas Zakat Bagi Majikan Sektor Awam & Swasta 2018 di Hotel Holiday Inn, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Azman Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif ZM, Abdul Halim Ismail.

Berucap pada majlis yang sama, Abdul Halim berharap majlis yang julung kalinya diadakan itu dapat memberi galakan dan suntikan semangat serta persaingan yang sihat kepada majikan melaksanakan potongan zakat kakitangan mereka.

“Anugerah yang diberikan ini meliputi sektor awam, swasta dan syarikat-syarikat korporat yang terdapat di Melaka.

“Majlis yang dianjurkan ini juga dilihat mampu mengeratkan ukhwah persaudaraan dan silaturahim selain bertukar-tukar idea serta pendapat.

“Pengiktirafan yang diberikan adalah berdasarkan kepada jumlah kutipan bayaran tertinggi yang diterima ZM,” katanya.

 

CATEGORIES