Melaka serius tangani isu tanah terbiar

AYER KEROH 3 Jan. – Kerajaan Negeri Melaka mengambil serius isu tanah terbiar di negeri ini supaya ia diusahakan oleh pemilik tanah terbabit.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kesemua pemilik tanah perlu bersama menangani perkara itu bagi memastikan penggunaan tanah secara optimum.
Beliau berkata, Pengarah Tanah dan Galian diminta meneliti pelaksanaan kadar cukai yang lebih tinggi bagi tanah terbiar selepas tempoh tiga tahun.
“Ini termasuk melihat secara praktis di negara lain seperti Singapura dan Jepun yang melaksanakan kaedah tersebut,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri di sini, hari ini.
Adly memberitahu, pada tahun 2018 sebanyak 723 permohonan tanah diterima berbanding 501 permohonan pada 2017.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 656 (90.73 peratus) permohonan diluluskan berbanding 413 (82.44 peratus) pada tahun 2017.
“Manakala, sebanyak 67 (9.27 peratus) permohonan ditolak berbanding tahun 2017 iaitu sebanyak 88 (17.56 peratus) permohonan tanah yang ditolak,” katanya.
Katanya, daripada jumlah itu ia menunjukkan permohonan tanah diluluskan tahun 2018 meningkat berbanding tahun sebelumnya.