Melaka simpati tragedi tembakan rambang di New Zealand- Adly

AYER KEROH 18 Mac – Kerajaan negeri bersimpati dan mengucapkan takziah berhubung insiden tembakan rambang berlaku di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, beliau menyampaikan suara rakyat yang mengutuk sekeras-kerasnya terhadap aktiviti kekejaman yang berlaku di mana seorang individu menembak umat Islam di Masjid Al Noor dan Linwood di negara terbabit.
Katanya, tindakan itu seharusnya dikutuk dan dibantah kerana ianya merupakan satu tindakan yang biadap dan memberi satu penghinaan terhadap agama Islam.
“Kekejaman yang dilakukan secara live streaming itu merupakan satu kegiatan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak sepatutnya dilakukan di dalam rumah ibadah.
“Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan kita berdoa agar mereka tabah dalam mengharungi dugaan ini.
“Kita harap kerajaan New Zealand perlu mengambil tindakan sekerasnya kepada penjenayah ini yang dianggap sebagai insiden hitam dan kejam dalam sejarah negara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan Usul Terima Kasih Atas Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Khalil Yaakob pada Persidangan Penggal Kedua DUN Ke-14 di Seri Negeri, di sini, hari ini.