Melaka tambah baik penanda arah di Hutan Bukit Beruang

AYER KEROH 19 Mac – Kerajaan negeri memandang serius mengenai isu pendaki yang sesat di Hutan Bukit Beruang dilaporkan MelakaKini Februari lalu.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, justeru itu, penambahbaikan meliputi aspek keselamatan pendaki telah ditingkatkan termasuk memasang papan tanda penunjuk arah utama bagi laluan keluar di hutan tersebut.
“Jabatan Perhutanan adakan siri perbincangan bersama Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka (KKBBM) bagi mengadakan program khidmat masyarakat membekal dan memasang papan tanda itu pada 11 Mac lalu.
“Sebagai langkah awal, jabatan tersebut membuat tanda arah keluar menggunakan cat merah pada pokok-pokok di laluan utama,” katanya.
Ujarnya, bagaimanapun tinjauan Jabatan Perhutanan negeri bersama Lions Club pada 4 Mac lalu mencadangkan supaya dua laluan masuk ditutup kerana ia dilihat membahayakan pengujung.
“Manakala, laluan yang digunakan penggemar sukan motosikal lasak juga ditutup dan ditanam dengan pokok-pokok hutan.
“Kita akan teruskan perbincangan bersama agensi terlibat bagi mengenalpasti keperluan, kekangan dan masalah yang timbul di kawasan rekreasi tersebut,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Perhutanan negeri mencadangkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) tersebut dijadikan hutan terbuka tanpa dikenakan permit masuk.
Ia rentetan wujudnya konflik antara jabatan tersebut dengan pendaki, kerana laluan pendakian di Hutan Bukit Beruang melibatkan HSK dan tanah milik.