Melaka tambah bilangan bas April depan

Melaka tambah bilangan bas April depan

PERINGGIT 20 Feb. – Kerajaan negeri akan menambah bilangan bas Panorama Melaka kepada 40 buah bas menjelang April ini bagi menambahbaik sistem pengangkutan awam di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah syarikat baharu dan akan menjalin usahasama dengan syarikat swasta bagi menambah bilangan bas Panorama di negeri ini.

“Perbincangan itu dimuktamadkan pada hujung Mac di mana ia sudah di peringkat akhir perbincangan, jadi jangkaan kita (penambahan operasi bas) pada April tahun ini.

“Kita akan memaksimakan (penggunaan) bas kepada 40 bas yang dipunyai syarikat berkenaan. Dan tidak lagi disewa seperti sekarang,” katanya kepada Melaka Kini hari ini.

Terdahulu, Mohd Sofi hadir menyaksikan program tanggungjawab korporat sosial (CSR) Panorama untuk pelajar sekolah di terminal bas percuma Melaka Sentral.

Mengulas lanjut, Mohd Sofi berkata, dengan penambahan bas terbabit, beliau yakin perkhidmatan bas Panorama akan menepati jadual mengikut laluan yang ditetapkan.

“Semua 40 buah bas termasuk tiga yang masih digunakan untuk bas percuma adalah 100 peratus menggunakan sumber gas asli (NGV), tidak lagi menggunakan diesel bagi menyahut saranan teknologi hijau,” katanya.

Tambahnya, setakat ini pihaknya masih mengkaji keperluan untuk menambah laluan, berikutan perkara itu mendapat kebenaran Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ujarnya, penambahan jumlah bas itu adalah inisiatif yang dibuat tahun ini bagi memastikan pengangkutan awam dibaiki.

“Dengan adanya penambahan bas itu, kita akan perkenalkan aplikasi baharu untuk kemudahan penumpang,” katanya.

CATEGORIES