Melaka tangguh, kaji semula petak parkir berbayar MBMB

AYER KEROH 4 Jan. – Kerajaan negeri akan menilai semula kawasan petak parkir berbayar di kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), termasuk perjanjian yang telah ditandatangani bersama pihak swasta.
Untuk rekod, bermula awal tahun ini MBMB telah memperkenalkan sistem letak kenderaan berbayar kepada syarikat swasta di 13 lokasi sekitar Bandaraya Melaka dengan mengenakan bayaran parkir antara RM1 dan RM2.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kaedah diguna MBMB ketika ini akan ditangguhkan dahulu kerana disifatkan membebankan masyarakat dengan langkah mengenakan bayaran di kawasan kemudahan tumpuan rakyat seperti kedai serbaneka, bank, klinik dan lain-lain.
Katanya, beliau akan meminta Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Tey Kok Kiew meneliti perkara itu dan melakukan perkara sewajarnya.
“Setakat ini tangguh dulu, saya akui kaedah mengenakan caj itu agak membebankan dan tidak disenangani dan bantahan rakyat terhadap langkah itu ada kewajarannya.
“Kita akan nilai semula perkara ini termasuk perjanjian, kadar caj, serta lokasinya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah pondok bayaran parkir MBMB di Taman Nirwana, Jalan Klebang Besar di sini, terbakar awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu dari pemilik syarikat swasta yang mengendalikan tempat parkir kenderaan berkenaan pada 2.20 pagi tadi.
“Pihak bomba masih lagi melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Zaidi Kadiron berkata, sepasukan tujuh anggota termasuk pegawai dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.
“Bomba menerima panggilan pada jam 1.02 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian. Pondok bayaran parkir berkeluasan 36 kaki persegi yang terbakar 80 peratus itu berjaya dipadamkan jam 1.28 pagi ini,” katanya.
Berikutan itu, sebuah video rakaman kebakaran pondok bayaran parkir berkenaan tular di laman sosial sehingga menimbulkan pelbagai dakwaan dari netizen.