Melaka tetapkan syarat pengeluaran HSK

Melaka tetapkan syarat pengeluaran HSK

AYER KEROH 13 Mac – Kerja-kerja pengeluaran pasir dan batuan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) telah dibenarkan semula kerajaan negeri.

Malah Ketua Menteri, Adly Zahari menetapkan kerja-kerja itu hanya boleh dilakukan dalam keluasan 200 hektar.

Adly berkata, bagaimanapun syarat yang ketat perlu dipatuhi, dalam masa sama kerajaan negeri tidak bercadang membuka kawasan baharu bagi kerja pengambilan pasir atau batuan.

Ujarnya, aktiviti moratorium yang dijalankan di beberapa kawasan sebelum ini telah menerima perlesanan dan kelulusan berdasarkan Seksyen 28 Akta Perhutanan Negara 1984 yang telah diterima pakai oleh negeri ini melalui Enakmen Perhutanan Negara (Penerimapakai) 1985.

Jelasnya, hak eksklusif telah diberikan kepada Perbadanan Ketua Menteri (CMI) bagi menjalankan kerja-kerja mengeluar, memproses, mengalih, menyimpan, menjual bahan batuan (pasir), menjalankan kerja-kerja memindah dan mengeluarkan bahan batuan (pasir) di atas Rizab HSK sehingga 31 Disember 2025.

“CMI turut menerima bayaran insentif hasil daripada pengeluaran oleh pengusaha mahupun kontraktor dengan kadar bayaran royalti ditetapkan melalui Fi Bahan Batuan (Pasir dan Granit), Kaedah-Kaedah Tanah Melaka 1966 atau sebarang pindaan yang berkuat kuasa.

“Semua lesen yang diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 11 Disember 2013 dan 30 Oktober 2014 dimaklumkan terbatal dan semua permohonan pengeluaran pasir dalam HSK perlu dikemukakan kepada CMI terlebih dahulu.

“Selain itu kita juga menetapkan kenaikkan bayaran Ses Pembangunan Hutan bagi Kumpulan Wang Pembangunan Hutan daripada RM1 kepada RM3 setiap meter padu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengulas, kadar kedatangan pelancong di Melaka direkodkan seramai 17.02 juta sekali gus mencapai sasaran kerajaan negeri pada tahun lalu.

Menurutnya, melalui rekod tersebut, sebanyak 11.3 juta pelancong direkodkan daripada pelancong tempatan dengan nilai sebanyak 66.59 peratus.

Manakala, 33.41 peratus merupakan nilai pelancong luar negara dengan bacaan seramai 5.7 juta orang.

“Pelancong dari China mencatatkan angka tertinggi iaitu seramai 1.7 juta orang, diikuti pelancong dari Singapura, 1.6 juta; Indonesia (813,400); Taiwan (141,600) dan Vietnam (119,883).

“Kerajaan negeri juga akan memastikan pelancongan dalam bidang pendidikan dapat dipertingkatkan sebagai contoh muzium di negeri ini yang sering dikunjungi golongan murid, pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) akan terus menerima lawatan

“Walaupun agak sukar untuk capai sasaran tahun ini disebabkan tarikan pelancongan lain di negara ini seperti Sabah, Port Dickson dan sebagainya tetapi kita opitimis dengan melakukan pelbagai inisiatif termasuk promosi Tahun Melawat Melaka 2019,” katany

CATEGORIES
TAGS