Melaka tinjau lokasi sesuai buang abu mayat

AYER KEROH 22 Feb. – Kerajaan negeri sedang meninjau lokasi sesuai untuk masyarakat India bebas melakukan ritual keagamaan membuang abu mayat yang ketika ini dilakukan secara haram.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, beberapa lokasi sudah dikenalpasti, namun terdapat beberapa perkara yang perlu dilihat terlebih dahulu sebelum memutuskan kawasan terbabit sebagai lokasi yang sesuai.
Katanya, masalah yang berlarutan sejak tahun lalu itu kini berada dalam perhatian serius, kerana ia membabitkan ritual keagamaan yang bebas diamalkan di negara ini, diikuti faktor kualiti air dan keselesaan penduduk.
“Lokasi sesuai akan dikenalpasti secepat mungkin bagi menyelesaikan perkara ini, tiada lokasi sementara akan dibuat kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah dan berkemungkinan menambah masalah sedia ada.
“Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan pihak kuil dan Exco Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, G. Saminathan telah diarahkan membincangkan perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara, di sini, hari ini.
Adly berkata, jika tiada lokasi khas bagi tujuan itu, beliau khuatir aktiviti keagamaan masyarakat Hindu itu akan menimbulkan ketidakselesaan dan faktor- faktor lain.
“Isu ini telah diletakkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), jadi kita cuba menyelesaikannya secepat mungkin, tanpa menganggu kebebasan beragama kaum ini,” katanya.