Melaka United fokus ledak gol

Melaka United fokus ledak gol

MEMASUKI separuh masa kedua saingan Liga Super 2018, pasukan bola sepak Melaka United kini menghuni tangga kesepuluh daripada 12 pasukan yang bersaing dalam liga elit itu.

Kedudukan tersebut memperlihatkan aksi permainan Melaka United semakin merosot berbanding pada awal musim lepas apabila menyaksikan pasukan Sang Kancil itu gah di tempat keempat sebelum hampir terjerumus dalam zon penyingkiran Liga Super musim ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan beliau memandang serius tentang perkara tersebut, dan antara langkah pertama yang diambil ialah dengan menukar jurulatih baharu.

“Jika dilihat kronologi perjuangan pasukan Melaka United pada awal musim lepas, Melaka United hanya bermain cara ‘defensive’ dan kita kurang meledak gol, jadi ia memberi kesan kepada kita secara keseluruhannya.

“Jurulatih sebelum ini (Hugo Almeida) gagal membentuk pasukan Melaka United menjadi mantap, dan bagi saya, dengan pertukaran jurulatih ini akan dapat menyelesaikan kebuntuan menjaringkan gol,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, beliau berpuas hati dengan jurulatih baharu Melaka United, E. Elavarasan walaupun dalam empat perlawanan, hanya mencatatkan dua seri, satu kemenangan dan satu kalah.

Jelasnya, susunan taktikal pasukan Melaka United kini lebih fokus kepada corak permainan ‘attacking’ yang mana bertepatan dengan hasrat beliau sendiri.

“Setakat ini, dia (E. Elavarasan) berjaya mengekalkan momentum permainan walaupun mengamalkan corak permainan serangan atau ‘attacking’.

“Paling tidak disangka, dia berjaya mengorak strategi serangan sehingga berjaya menewaskan pasukan Kedah dengan jaringan 2-0 di tempat lawan pada 1 Jun lepas,” katanya.

Tambahnya, misi Melaka United ialah untuk kekal dalam saingan Liga Super musim hadapan dan melayakkan diri dalam saingan Piala Malaysia nanti.

CATEGORIES