Melaka United mahu bangkit atasi isu bolos

Melaka United mahu bangkit atasi isu bolos

SELEPAS 15 perlawanan, Melaka United (MU) seakan berdepan masalah sama musim lalu iaitu benteng pertahanan yang rapuh dan jentera serangan tumpul.

Berdasarkan statistik musim ini, selepas 15 perlawanan, MU dibolosi 26 kali oleh pasukan lawan, dalam masa sama hanya menjaringkan 17 gol.

Tewas dan menang tiga kali di laman sendiri termasuk satu seri, manakala tewas lima kali, seri sekali dan menang dua kali ketika berkunjung ke gelanggang lawan. Angka yang agak teruk berdasarkan kedudukan semasa di tempat ke-10 liga.

Bagaimanapun, Pengurus Pasukannya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi memberi jaminan anak didik E.Elavarasan akan bangkit dengan kemasukan pemain baharu.

Katanya, prestasi terumbang-ambing yang digambarkan hanyalah bayangan negatif untuk mengganggu rentak pasukan kerana kedudukan MU di tangga pasukan menunjukkan peningkatan berbanding musim lalu.

“Ketiadaan pemain utama dibarisan pertahanan, antara sebab mengapa kita banyak dibolosi. Itu masalah kita dan bukannya sistem permainan.

“Dengan kemasukan pemain baharu, perkara sama tidak akan berlaku dan ketika bertemu pasukan PKNP minggu depan di Perak, soal bolos tidak terjadi lagi,” katanya.

Angka bagi 15 perlawanan pertama MU musim ini tidak jauh bezanya berbanding musim lepas, di mana musim lalu MU dibolosi 28 kali, namun menjaringkan 21 jaringan, sebelum menamatkan saingan liga di tempat kelapan musim lalu.

CATEGORIES
TAGS