Melaka usaha dapatkan bekalan air mentah dari Negeri Sembilan

Semoga dipermudahkan segala urusan oleh-Nya

Melaka usaha dapatkan bekalan air mentah dari Negeri Sembilan

AYER KEROH 6 Feb. – Kerajaan negeri bercadang untuk mendapatkan bekalan air mentah dari Negeri Sembilan pada masa akan datang dalam usaha menampung masalah kekurangan air di empangan-empangan utama Melaka.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, buat masa ini Melaka hanya membeli bekalan air terawat dari Negeri Sembilan dalam kapasiti yang rendah iaitu 11,400 meter padu sehari, berbeza dengan bekalan air mentah yang diperoleh dari Johor iaitu sebanyak 220 juta liter sehari.

Jelasnya, disebabkan jumlah bekalan air terawat yang agak rendah, air tersebut hanya dapat digunakan di sebahagian kawasan (daerah Alor Gajah, Tampin) berdasarkan sistem yang sedia ada.

“Antara langkah yang akan kita usahakan ialah untuk berbincang dengan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) untuk membuat tambahan bekalan air terawat. Jumlahnya nanti akan kita muktamadkan.

“Dalam masa sama, kita juga akan berbincang dengan Negeri Sembilan untuk melihat sumber air mentah mereka kerana kita percaya mereka ada potensi untuk itu. Jika mendapat kerjasama daripada Negeri Sembilan, kita akan berusaha mendapatkan sumber air mentah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca Mesyuarat Exco kerajaan negeri, di Seri Negeri, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Adly berkata, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan meneruskan bekalan air berjadual seperti biasa sepanjang minggu ini.

Bagaimanapun, untuk hari Jumaat, bekalan air hanya akan ditutup pada jam 2 petang dan bukannya 10 pagi seperti kebiasaan bagi memudahkan urusan umat Islam menunaikan Solat Jumaat.

CATEGORIES
TAGS