MIDA akan pertingkat kerjasama lahir bakat mahir industri

MIDA akan pertingkat kerjasama lahir bakat mahir industri

KUALA LUMPUR – Pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus mempertingkat jalinan kerjasama antara institusi akademik, vokasional dan teknikal dengan kalangan kapten industri di peringkat serantau.

Ini bagi memastikan penawaran bakat berpengetahuan serta mahir dalam industri yang bertepatan untuk memenuhi keperluan landskap Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

“Kemajuan teknologi memerlukan penawaran bakat yang memiliki kemahiran semasa serta masa depan. Malah ini merupakan satu cabaran realiti di peringkat global.

“Oleh kerana kalangan bakat sesebuah negara itu turut menjadi antara tarikan utama pelabur, tidak hairanlah Malaysia turut menyasarkan untuk muncul sebagai salah satu penggiat utama dari segi penawaran bakat di rantau Asia,” kata MIDA menerusi Laporan Prestasi Pelaburan Malaysia 2018 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut agensi kerajaan itu, walaupun perubahan teknologi itu menjanjikan peluang baharu, Malaysia perlu berusaha mengurangkan jurang bakat yang ada, termasuk menerusi penglibatan pihak industri dan akademik bagi mempertingkatkan sistem, dasar, proses dan inisiatif strategi masing-masing.

Antara inisiatif yang dirancang MIDA termasuk melancarkan Program Perintis membabitkan pakatan tiga pihak antara agensi itu, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) serta Kementerian Pendidikan bagi menangani masalah kekurangan pekerja berkemahiran teknikal – isu yang turut dibangkitkan oleh ahli FMM.

Menerusi Projek Perintis itu, MIDA melibatkan sejumlah lima syarikat anggota (FMM) yang membantu penempatan 34 penuntut di kolej vokasional terpilih dalam empat kursus iaitu jentera industri, elektrikal, kimpalan serta elektronik.

“Bagi melengkapkan lagi inisiatif bakat yang dirancang itu, pihak universiti dan syarikat juga boleh membantu dengan bekerjasama melahirkan siswazah yang bersedia menceburi bidang industri,” katanya.

Malah, seiring agenda itu, MIDA turut memainkan peranan dalam Dasar Kebangsaan Mengenai Industri 4.0 yang dilancarkan pada 31 Okt, 2018 dalam usaha menangani keperluan transformasi digital sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan.

CATEGORIES