Minggu Harmoni tingkat perpaduan kaum

Minggu Harmoni tingkat perpaduan kaum

BANDARAYA MELAKA 28 Jan. – ‘World Interfaith Harmony Week 2019’ akan diadakan sebagai platform meningkatkan perpaduan pelbagai bangsa di negeri ini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kubu, Danny Sim Yong Peng berkata, acara selama seminggu itu akan dilaksanakan melalui pelbagai lokasi sekitar negeri ini.

Katanya, ia sekali gus memberi kesedaran masyarakat terhadap integriti dan perpaduan yang perlu diterap masyarakat.

Ujarnya, kesejahteraan dan perpaduan kaum perlu dimartabatkan bagi membentuk negeri harmoni, sekali gus mampu meningkatkan kestabilan politik dan peningkatan ekonomi negara.

“Program yang bakal dilaksanakan mulai 1 hingga 7 Februari itu diadakan melalui pelbagai aktiviti seperti program sukarelawan, menderma buku serta pelbagai lagi.

“Saya jemput seluruh masyarakat menyertai program ini tanpa mengira fahaman, agama dan kaum dalam meningkatkan perpaduan yang ada sebagai membentuk semangat muhibah,”
katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Malacca Harmony Week 2019 di Mamee Jonker House dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Melaka, Nor Azlinda Ahmad Tahir; Penaung Malacca Harmony Heritage, Lars Lindbeck serta tetamu lain.

Sementara itu, Lindbeck berkata, program itu diadakan melalui kerjasama organisasinya serta Gan Asia dan beberapa agensi lain.

Katanya, organisasinya merupakan sebuah jaringan dalam mempromosikan dan menyokong setiap budaya dan khazanah
di negeri ini.

Menurutnya, perlaksanaan program itu diadakan sejak 2011 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mempromosikan keharmonian, keamanan, toleransi dan kesafahaman kaum.

“Kami ingin memberi pendedahan dan inspirasi buat masyarakat di mana ianya bukan program keagamaan, namun program seperti ini disambut pada peringkat antarabangsa.

“Penganjuran seperti ini turut menjadikan seni dan kraf tangan yang bukan saja memperkenalkan produk berkenaan, malah merupakan peluang keharmonian masyarakat dari pelbagai latar belakang, sekali gus promosikan Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019),” katanya.

CATEGORIES