Misi bantuan Lombok, SM sasar sumbangan RM50,000

TELOK MAS 19 Mac – Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SM) menyasarkan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk misi bantuan kecemasan Lombok kedua yang akan disampaikan ke sana selewat-lewatnya minggu hadapan.
Pengurus Besar Pertubuhan Kebajikan SM, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, sumbangan bantuan kecemasan Lombok kedua itu bagi membantu penduduk di sana yang kehilangan tempat tinggal dan memerlukan.
Katanya, kira-kira 100 rumah mengalami kerosakan akibat gempa bumi dan susulan itu, kebanyakan penduduk di sana tidak berani untuk tidur di rumah mereka dan berlindung di penempatan sementara yang lebih selamat.
“Dalam kejadian yang mengorbankan dua mangsa dan salah seorang daripadanya merupakan warganegara Malaysia, mangsa yang dikenali Tai Siew Kim, 56, terkorban selepas dilaporkan berada di kawasan air terjun Tiu Kelep, Desa Senaru, Lombok Utara yang mengalami gempa.
“Puluhan penduduk termasuk pengunjung di situ turut mengalami kecederaan setelah gempa berukuran 5.8 skala richter itu menggegarkan Lombok sekitar jam 2.07 petang waktu tempatan sebelum disusuli gegaran kedua sekuat 5.2 skala richter pada jam 2.09 petang, Ahad lepas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Terdahulu, dalam misi bantuan Lombok pertama, SM telah melakukan inisiatif untuk membantu penduduk yang mengalami bencana melalui kempen bantuankecemasan.com.
“Bantuan yang pertama, SM telah berjaya mengumpul sebanyak RM121,923.77 dan bantuan berjaya dihulurkan kepada mangsa bencana alam dengan jayanya dan kali ini misi bantuan Lombok kedua, kita harap dapat kumpulkan jumlah sasaran.
“Orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan dan tajaan bagi meringankan beban mangsa-mangsa bencana alam di Lombok boleh layari bantuankecemasan.com atau melalui akaun Maybank Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim:5641 0042 1083,” katanya.