MOA pertimbang naikkan elaun sara hidup nelayan

MOA pertimbang naikkan elaun sara hidup nelayan

DUYONG 16 Feb. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bercadang untuk menaikkan bantuan elaun sara hidup nelayan pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya menyasarkan jumlah elaun tersebut meningkat kepada RM300 berbanding RM250 sebulan yang diberikan sepanjang tahun ini.

“Jika tahun lepas kita beri RM200 dan tahun ini RM250 sebulan, tahun depan kita cadang untuk tambah elaun sara hidup ini menjadi RM300.

“Ini adalah usaha yang akan saya lakukan sebagai seorang menteri untuk mencukupkan apa yang mereka (nelayan) dapat dahulu.

“Tetapi apa pun, semuanya bergantung kepada keadaan ekonomi kita. Jika ekonomi bertambah baik, mungkin lebih lagi kita boleh berikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan Negeri Melaka bagi bulan Januari 2020 di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Duyong, di sini, petang semalam.

Dalam majlis itu, seramai 595 nelayan negeri Melaka telah menerima elaun tersebut dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM147,750.

Selain itu, Salahuddin turut menyampaikan Bantuan Bencana Alam LKIM bernilai RM25,000 kepada dua orang penerima di Melaka.

Hadir sama, Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil serta Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee

CATEGORIES