Mohon pertimbang lampu isyarat

Mohon pertimbang lampu isyarat

SUNGAI UDANG 6 Mac – “Anak saya dah cacat, kalau boleh wujudkan satu lampu isyarat di hadapan taman ini, supaya tiada lagi kejadian sama berulang menimpa pengguna jalan raya lain,” luah Fatimah Zaharah Hassan, 41.

Katanya, kejadian yang menimpa anak kedua daripada empat beradik pada 2017 itu menyebabkan tangannya tidak boleh berfungsi sepenuhnya.

Jelasnya, ketika kejadian, anaknya menunggang motosikal sebelum dirempuh kenderaan yang terbabas dari seberang jalan ketika berada di persimpangan Pelupusan Sampah Sungai Udang.

“Keadaan dia ketika itu terlalu teruk, sayu hati saya melihat anak sendiri, oleh itu saya berharap pihak JKR membuka mata terhadap perkara-perkara yang melibatkan keselamatan kami sebagai pengguna jalan.

“Beberapa pembedahan telah dibuat doktor supaya tangan anak saya berfungsi sepenuhnya, namun masih tiada rezeki,” katanya ketika ditemui pada Sembang Santai Isu Persimpangan Taman Indah, pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Dr. Rusnah Aluai.

Turut hadir, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang,

Dalam pada itu, perbincangan yang berlangsung pada jam 10.30 pagi itu tiba-tiba hangat selepas beberapa penduduk mula meluahkan rasa bimbang terhadap tahap keselamatan pengguna, diikuti makluman penutupan persimpangan oleh JKR menggunakan penghadang New Jersey (NJB) bagi memastikan jalan Persekutuan tersebut lancar bagi kegunaan lalu lintas.

Bagaimanapun, keadaan kembali tenang selepas Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Indah, Raja Azjar Raja Majid mengawal keadaan.

Rata-rata luahan yang melibatkan perjalanan ke Pekan Sungai Udang yang terpaksa dipanjang sehingga 1.65 kilometer untuk membuat pusingan U.

Itu hanyalah untuk jarak satu hala dan jika mereka mahu ke Pekan Sungai Udang jaraknya menjadi hampir lima kilometer sedangkan jarak taman itu ke pekan kurang dua kilometer.

Persimpangan taman tersebut dikatakan terlalu dekat dengan satu lagi persimpangan di hadapan Kompleks Penjara Sungai Undang dengan jarak kira-kira 800 meter dan akan menjadikan lebuh itu sesak sekiranya dibina satu lagi persimpangan berlampu isyarat.

Sementara itu, Mas Ermieyati memberitahu, pihaknya sedaya upaya mencari penyelesaian bagi masalah tersebut demi keselamatan penduduk dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Memandangkan lebuh tersebut merupakan jalan Persekutuan, maka ia di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan namun di peringkat negeri, kita akan mempertimbangkan cadangan pembinaan jalan alternatif buat jangka masa panjang.

“Bagaimanapun, pembinaan jalan alternatif akan mengambil tempoh yang panjang kerana ia melibatkan pengambilalihan tanah penduduk dan sebagainya,” tambah beliau.

CATEGORIES