MPJ johan Kategori Bangunan Kerajaan

MPJ johan Kategori Bangunan Kerajaan

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Tey Kok Kiew (dua kiri) dan Mustaffa (tengah) bergambar bersama.

Oleh JURAIDAH OTHMAN

JASIN 24 Okt. – Pelbagai cara digunakan bagi menggalakkan orang ramai turut serta mengibar Jalur Gemilang sempena Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-61 negara.

Rentetan itu, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) turut mengambil langkah proaktif menyemarakkan sambutan itu dengan menyertai Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 Peringkat Negeri Melaka.

Yang Dipertua MPJ, Mustaffa Ali berkata, penyertaan pihaknya pada pertandingan itu bertujuan menyemarakkan penglibatan lebih ramai rakyat khususnya warga kerja MPJ untuk bersama mengibarkan Jalur Gemilang.

Menurutnya, melalui pertandingan itu, secara tidak langsung dapat menyuntik semangat kesedaran dan keinsafan warga kerja MPJ betapa pentingnya setia terhadap tanah tumpah darah sendiri.

“Usaha membangkitkan semangat kemerdekaan, taat setia, bersatu padu dan kasihkan negara perlu dilipatgandakan, jika tidak ia boleh memadamkan semangat perpaduan dan cintakan negara,” katanya.

Mustaffa berkata, pihaknya tidak menyangka MPJ berjaya merangkul johan pertandingan itu bagi Kategori Bangunan Kerajaan seterusnya mewakili Negeri Melaka ke peringkat kebangsaan.

“Ini merupakan tahun kedua MPJ terpilih hingga ke peringkat kebangsaan dan kejayaan ini dapat meningkatkan lagi semangat kami,” katanya.

Ujarnya, kejayaan tersebut secara tidak langsung dapat menggalakkan kakitangan MPJ mewujudkan suasana keceriaan dan kreativiti Hari Kemerdekaan tahun ini melalui hiasan dan dekorasi menggunakan bendera Malaysia serta barangan kitar semula.

“Alhamdulillah, kita mendapat kerjasama padu dari kakitangan MPJ bersama-sama menghias, mendekorasi serta mencipta replika dari barangan terpakai untuk menceriakan seluruh bangunan MPJ dengan hiasan Jalur Gemilang.

“Melalui semangat kerjasama dipamerkan oleh warga kerja MPJ, kita dapat lihat sejauh mana mereka ini bersemangat menghayati kemerdekaan selain usaha mereka menyertai pertandingan ini,” ujarnya.

CATEGORIES