MPJ rangkul pingat emas Kategori Projek Hijau & perak Kategori Pembudayaan Hijau PBT

MPJ rangkul pingat emas Kategori  Projek Hijau & perak Kategori Pembudayaan Hijau PBT

Oleh JURAIDAH OTHMAN

JASIN 29 Okt. – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus melakar kejayaan apabila memenangi pingat emas Kategori Projek Hijau (Vista Alamanda) dan pingat perak Kategori Pembudayaan Hijau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sempena Anugerah Hijau Negeri Melaka 2018.

Yang Dipertua MPJ, Mustaffa Ali berkata, anugerah tersebut mencerminkan komitmen MPJ menjadi sebuah PBT yang bertanggungjawab terhadap aspek sosial serta alam sekitar.

Katanya, MPJ sentiasa menyokong projek-projek infrastruktur melibatkan perancangan komuniti hijau untuk menjamin kesejahteraan hidup masyarakat di daerah Jasin selain menyediakan perkhidmatan berteraskan teknologi hijau untuk pembangunan komuniti hijau di daerah ini.

“Anugerah berprestij ini pengiktirafan cukup tinggi kepada MPJ. Kami bangga dengan pengiktirafan ini di atas segala usaha dilaksanakan dan sentiasa memastikan apa yang kami laksanakan bertepatan dan memberi manfaat kepada pihak-pihak berkepentingan khususnya penduduk di daerah Jasin,” ujarnya.

Dalam pada itu Mustaffa berkata, pengiktirafan tersebut diberikan kepada MPJ yang mengamalkan inisiatif kelestarian dalam kehidupan masyarakat iaitu Program Bumi Hijau, Program Rakan Taman dan Program Bio Diesel.

“Pencapaian ini sesuatu yang membanggakan kami warga kerja MPJ. Ini membuktikan kepelbagaian usaha terhadap agenda komuniti hijau berdasarkan Pelan Tindakan Alam Sekitar berada dalam landasan tepat untuk mencapai matlamat khususnya dalam membudayakan kelestarian alam sekitar kepada masyarakat,” katanya.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari.

CATEGORIES