MPKK, MPKKB di Melaka bakal dapat perlindungan insurans kesihatan
Terima kasih kerajaan negeri

AYER KEROH 6 Feb. – Kesemua ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Kampung Baru (MPKK/MPKKB) di Melaka bakal mendapat perlindungan insurans kesihatan dan pelan takaful khairat kematian berkelompok bermula tahun ini.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam yang mana pelan perlindungan insurans tersebut bakal diuruskan Koperasi Pahlawan Berhad.
“Perlindungan insurans kesihatan ini akan memberi manfaat kepada keseluruhan ahli MPKK/MPKKB di peringkat kerajaan negeri.
“Kalau kita lihat pelan ini tujuan kita adalah untuk memastikan ahli MPKK/MPKKB kita mempunyai perlindungan secara keseluruhan pada tahun 2020 ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Adly berkata, tempoh pelantikan anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Baru (MPKKB) Melaka melibatkan 299 orang daripada 23 kampung akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.