MTQ cungkil bakat baharu pelajar

TANJUNG MINYAK 14 Mac – Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) platform mencungkil bakat pelajar sekolah rendah di sekitar kawasan Tanjung Minyak.
Penolong Pegawai Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah, Hassan Said berkata, usaha itu bagi membuktikan pelajar mampu bersaing dengan sekolah-sekolah yang lebih hebat.
Katanya, ia sekali gus memberi impak positif kepada pelajar untuk menggilap bakat baharu mereka dalam tilawah al-Quran.
“Persembahan peserta tahun ini menampakkan kesan yang positif dan paling ketara saingan antara sekolah-sekolah juga cukup hebat.
“Ini bukti bahawa guru-guru pendikan Islam dan Bahasa Arab memainkan peranan besar di sekolah masing-masing untuk menggilap pelajar,” katanya.
Hassan berkata demikian pada MTQ Sekolah- sekolah Kawasan Tanjung di Sekolah Kebangsaan Tanjung Minyak 2 (SKTM2), baru-baru ini.
Hadir sama, Pembantu Kebajikan Japerun Paya Rumput, Mohd Amir Raisyidin Abdul Muzid; Pegawai Sektor Pendidikan Islam, Norhisham Miswan dan Guru Besar SKTM2, Ehsanudin Abd Jalil.
Pada majlis itu, sebanyak enam kategori dipertandingkan seperti tilawah al-Quran lelaki, tilawah al-Quran perempuan, hafazan lelaki, hafazan perempuan, bercerita kisah nabi lelaki dan bercerita kisah nabi perempuan.
Katanya, peserta yang bertanding diharap mampu menempa kejayaan pada peringkat negeri pada April depan.