MU mahu ‘bantai’ JDT

SELEPAS terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika bertemu Pahang di laman sendiri tempoh hari, Ketua Jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan nekad melepaskan geram ketika bertandang ke Larkin, Sabtu ini.
Menerusi kenyataan rasmi di laman Persatuan Bolasepak Melaka United (MU) semalam, Zainal dilaporkan terkilan dengan keputusan perlawanan, namun kekal bersikap realistik dan nekad melupakan detik berkenaan.
Dalam kenyataan itu lagi, MUSA memberitahu MU akan turun dengan misi menyekat hajat Johor Darul Ta’zim (JDT) mengutip mata penuh.
Jelas MUSA, skuad Harimau Selatan turut akan melalui detik sukar menerusi jerat-jerat yang sedang dirangka Zainal menjelang pertemuan keempat aksi Liga Super musim ini.
“Skuad Hang Tuah bakal hadir dengan pasukan paling ampuh dengan prestasi terbaik sebagai antara pasukan yang masih belum tewas dalam saingan liga musim ini.
“Harus diingat, MU musim ini bukan seperti musim-musim yang lalu dengan dibarisi pemain-pemain yang lebih berpengalaman dan tangkas di segenap posisi dalam menyukarkan setiap lawan mencuri mata dengan mudah menentang kami.
“Dengan skuad penuh taktikal yang direncanakan jurulatih Zainal musim ini, MU bakal hadir ke Larkin tidak seperti kebiasaan, tiada jalan mudah bagi JDT mendapatkan tiga mata penuh pada perlawanan ini kerana kami juga mempunyai misi untuk tidak pulang dengan tangan kosong dari perlawanan sukar itu,” katanya.
MUSA dalam kenyataan sama turut berkata, situasi MU ketika ini yang belum berupaya ditumbangkan lawan menjadi bukti pasukan itu bukan lagi berada dalam kelompok pertengahan.
“Keputusan seri menentang Pahang minggu lalu menjadi bukti bahawa Melaka United tidak lagi berminat untuk menjadi pasukan pertengahan liga sebaliknya mahu mengubah status sebagai antara pasukan pencabar dalam semua kejuaraan Liga Malaysia musim ini,” katanya.
MU kini berada di tangga keempat liga, hanya satu tangga di bawah JDT, namun kedua pasukan ini terikat dengan mata yang sama dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan selepas tiga perlawanan.
Tempoh hari, Presiden MUSA, Adly Zahari melaungkan Pahang dan JDT sebagai pesaing rapat MU musim ini berdasarkan kapasiti pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman.