MU yakin jinakkan Harimau Selatan & Tok Gajah

MELAKA United (MU) melaungkan amaran sebagai pesaing rapat juara lima kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang berdasarkan pengambilan pemain berpengalaman dipilih Zainal Abidin Hasssn musim ini
Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari berkata, jika dibandingkan dari segi pengalaman, MU memiliki kelebihan dan berupaya menjinakkan skuad Harimau Selatan dan Tok Gajah.
Katanya, MU yang turut digelar ‘Melaka Allstar’ oleh penyokongnya musim ini berpeluang menduduki kedudukan lebih baik selepas mengakhiri Liga Super musim lalu di tangga ketujuh.
“Dari segi pengalaman saya yakin MU memiliki kelebihan berbanding pasukan lain (JDT & Pahang).
“Jadi kita akan menggunakan mereka sebagai senjata kita musim ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pengenalan Pemain dan Jersi MU musim 2019, di Kompleks membeli-belah Melaka Mall, sebentar tadi.
Terdahulu, MU menukar citarasa musim ini dengan mengumumkan warna putih sebagai jersi utamanya musim ini, diikuti jersi hijau bagi variasi kedua dan kuning bagi jersi ketiga ketika berkunjung ke laman lawan.
Sementara itu, Patrick Alcala Reichelt sah mengisi kuota ASEAN sebagai pemain import kelima menggantikan Shahdan Sulaiman.
Selain Reichelt, MU turut menandatangani Liridon Krasniqi, Jang-Suk Won, Darko Markovic dan Anselmo Casagrande.
Diikuti pemain tempatan berpengalaman, antaranya, Shukor Adan, Safiq Rahim, Razman Roslan, Khairul Fahmi Che Mat, Nazrin Nawi dan lain-lain.