Muda- muda dah jadi jutawan…

Muda- muda dah jadi jutawan…

AYER KEROH 27 Feb. – Semangat yang tinggi untuk mengubah kehidupan membuatkan seorang gadis muda di sini, tekad mencuba sesuatu yang tidak pernah dilakukan dan ternyata langkah itu tidak pernah salah.

Kini, berkata usaha yang tidak pernah jemu dan mengaku kalah, Nordiana Amdan, 33, mampu menggenggam pendapatan kira- kira RM100,000 sebulan malah memiliki beberapa biji kereta dan juga mampu membeli rumah mewah.

Katanya, sembilan tahun lalu niatnya untuk mengikuti kursus insurans secara percuma setelah lebih empat bulan ‘menanam anggur’, kurang mendapat persetujuan daripada keluarga namun dia tetap membulatkan hati menyertainya.

“Saya libatkan diri mengikuti kursus insurans percuma ketika itu pada usia 23 tahun. Memang tak tahu apa- apa, hala tuju pun saya tidak ada dalam hati. Tapi disebabkan ilmu insuran yang diberi adalah percuma, jadi saya teruskan lagi pula ketika itu saya menganggur.

“Keluarga memang tak berapa setuju sebab bagi mereka kerja insuran tak ke mana. Tapi saya buktikan selepas empat bulan jadi ejen insuran akhirnya saya mampu memperoleh RM3,000 sebulan,” katanya.

Menurutnya yang merupakan graduan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Kedah, pencapaian yang terima pada waktu itu mencabar diri untuk melipat gandakan usahanya agar menjadi yang lebih cemerlang.

“Alhamdulillah lepas itu, pendapatan saya meningkat sedikit demi sedikit hingga mampu memiliki keinginan hati. Jadi, saya amat bersyukur langkah untuk mengikuti kursus dan tunjuk ajar dan motivasi diberi mentor amat dihargai.

“Kejayaan saya ini diharapkan menjadi pendorong buat anak muda di luar sana jangan pernah leka dengan kehidupan ini. Sentiasa mencuba dan jangan pernah menyerah. Apa yang penting kemahuan,” katanya yang tinggal di Batu Berendam.

Kejayaan demi kejayaan sudah dimiliki bahkan gadis ini pernah memiliki penganugerahan di peringkat antarabangsa iaitu Million Dolar Round Table (MDRT) sebanyak empat kali.

Mengakhiri perbualan, Nordiana berkata, tiada kemenangan tanpa penat lelah dan tiada kecemerlangan tanpa komitmen, apa yang penting seseorang itu perlu konsisten dalam usaha meraih peluang.

 

CATEGORIES