Musa Aman pohon ketepi 46 dakwaan rasuah, pengubahan wang

Biar mahkamah yang menentukan...

Musa Aman pohon ketepi 46 dakwaan rasuah, pengubahan wang

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman memohon untuk mengetepikan 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan konsesi balak di negeri itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar hari ini memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin yang pihak pendakwaan menerima permohonan Musa baru-baru ini dan memerlukan masa untuk memberikan respons.

Katanya, Musa memohon mengetepikan semua pertuduhan itu kerana beliau mendakwa ia “tidak berasas”.

Peguamnya, Ng Aik Guan mengesahkan pihak pembelaan sudah memfailkan permohonan itu pada 12 Feb lalu.

Umar berkata, pihak pembelaan memfailkan satu lagi permohonan pada hari sama untuk merujuk isu Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan mengenai satu peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 atau Amla.

Beliau kemudiannya memberitahu wartawan, pihak pembelaan mahu mencabar Seksyen 82(2) Amla yang memberi kuasa kepada pegawai diplomatik untuk mengeluarkan sijil yang dakwaan pengubahan wang akan dikenakan kepada individu di mahkamah negara ini atas kesalahan dilakukan di luar negara.

“Mereka kata tindakan pegawai itu mengeluarkan sijil dilihat sebagai campur tangan dalam keputusan peguam negara untuk mendakwa. Kami mempertahankan seksyen itu adalah sah.”

Jamil menetapkan 22 hingga 23 April ini untuk mendengar kedua-dua permohonan itu.

Mahkamah turut menetapkan 14 hingga 18 serta 21 hingga 24 Sept, 26 hingga 30 Okt dan 10 hingga 27 Nov sebagai tarikh perbicaraan.

Umar memberitahu mahkamah yang pihak pendakwaan akan memanggil 50 hingga 60 saksi untuk memberi keterangan dengan ada di kalangan mereka datang dari Sabah.

Musa, Ketua Menteri Sabah dari 2003 hingga 2018, mengaku tidak bersalah terhadap 35 pertuduhan rasuah pada 5 Nov 2018. Bagaimanapun, 5 dakwaan digugurkan kemudian.

Beliau didakwa menerima rasuah berjumlah AS$28,500 hingga AS$16,148,547 daripada beberapa individu antara Disember 2004 hingga November 2008.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, beliau boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau sehingga 5 kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

Musa turut berdepan 16 dakwaan pengubahan wang membabitkan AS$37 juta daripada beberapa individu dan syarikat pada tempoh sama.

Jika sabit kelsahan di bawah Amla, beliau boleh dipenjara 5 hingga 15 tahun.

CATEGORIES