MUSA harap FAM tak potong mata
"Kita telah keluarkan kira-kira RM5.4 juta untuk membayar tunggakan pada 2017 hingga 2019, termasuk pembayaran gaji terkini pada 2020," - Shen Li

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menghukum mereka, memandangkan badan induk bola sepak negeri itu sudah mempunyai pelan pembayaran tunggakan yang akan diselesaikan hujung Februari ini.
Pada 16 Januari lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan Melaka United (MU), PDRM dan Kelantan bakal berdepan hukuman pemotongan mata Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 andai gagal menjelaskan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan masing-masing pada 31 Januari 2020.
Sekiranya, gagal menjelaskan pembayaran, potongan tiga mata akan dibuat serta-merta, diikuti potongan enam mata, jika gagal menjelaskan baki hutang itu kepada pemain, pengurusan dan barisan jurulatih pada 28 Februari 2020.
Atau dikeluarkan secara terus dari Liga Super 2020 (Melaka United dan PDRM), jika gagal menjelaskan pada tarikh akhir ketiga pada 30 Mac 2020.
“Kita telah keluarkan kira-kira RM5.4 juta untuk membayar tunggakan pada 2017 hingga 2019, termasuk pembayaran gaji terkini pada 2020.
“Ia turut melibatkan pembayaran gaji pendahuluan kerana nak ke Bandung, Indonesia bagi perlawanan pra-musim.
“Memang kita masih ada tunggakan, bersama kira-kira tujuh lagi pemain antaranya, Darko Markovic, Davy Claude Angan, Anselmo Casagrande, Patrick Reichelt dan lain-lain.
“Bagaimanapun, MUSA telah membuat persetujuan bersama mereka untuk membayar tunggakan tersebut 14 hari bermula semalam (1 Februari 2020),” kata Presiden MUSA, Damian Yeo Shen Li.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bandaraya Melaka di sini, semalam.