MUSA simpati nasib penduduk Pasir Gudang

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) menerusi kiriman rasmi di laman sosial menzahirkan rasa simpati buat penduduk Pasir Gudang yang terjejas dengan bencana pencemaran toksik akibat pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim sejak Khamis lalu.
“Sedalam-dalam takziah buat semua penduduk yang terjejas dengan situasi semasa yang berlaku.
“Kami mendoakan semoga mereka yang terlibat tabah menghadapi dugaan yang menimpa dan semuanya akan kembali pulih seperti sedia kala, ikhlas daripada kami di MUSA,” katanya.
Kiriman itu turut menerima beberapa pujian daripada penyokong seluruh negara sebagai tanda prihatin badan bola sepak Melaka itu terhadap mangsa kejadian.
Berhubung pencemaran itu, sebanyak 34 sekolah diarahkan tutup oleh Kementerian Pendidikan.
Diikuti Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di kawasan itu.