MUSA turunkan harga tiket

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) menurunkan harga tiket musim ini bagi menarik lebih ramai penyokong hadir ke Stadium Hang Jebat pada setiap aksi perlawanan di laman sendiri.
Menurut Bendahari Kehormat MUSA, Yuhaizad Abdullah, harga tiket musim ini ditetapkan kepada RM15 bagi kawasan berbumbung, RM10 bagi kawasan terbuka dan percuma kepada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.
“Kadar harga tiket musim ini ditetapkan lebih rendah berbanding musim lalu sebagai meringankan beban penyokong skuad Hang Tuah demi sokongan buat pasukan.
“Semoga dengan kadar baharu ini bakal menarik lebih ramai penyokong memberikan sokongan buat pasukan pada setiap perlawanan tuan rumah Melaka United (MU) di Stadium Hang Jebat sepanjang saingan Unifi Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA musim 2019,” katanya.
Penyokong yang menonton aksi MU di Stadium Hang Jebat yang boleh memuatkan 40,000 penyokong pada satu masa musim lalu, dikenakan harga RM15 bagi kawasan terbuka dan RM20 bagi kawasan berbumbung.