Musim panas melanda negara, sekolah perlu pantau aktiviti murid – KPM

Musim panas melanda negara, sekolah perlu pantau aktiviti murid – KPM

AYER KEROH 15 Feb. – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggesa setiap sekolah di seluruh negara khususnya di Melaka dan Pantai Timur mengambil inisiatif terhadap persediaan semasa musim panas dan kering yang berpanjangan melanda negara.

Melalui kenyataan dikeluarkan kementerian itu berkata, pihak pengurusan sekolah perlu menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid semasa musim tersebut.

Katanya, pihak sekolah perlu peka akan bahaya cuaca panas dan mengambil tindakan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Ujarnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah perlu memantau di setiap sekolah bagi memastikan langkah penjagaan tersebut dilaksanakan.

“Langkah itu termasuk memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas, malah perlu menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika keadaan membimbangkan.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan murid mendapat bekalan air bersih mencukupi dalam kuantiti bersesuaian bagi mengawal suhu badan,” katanya.

“Selain itu, katanya mereka (pihak sekolah) juga perlu membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.

“Malah, perlu berwaspada dan bekerjasama dengan klinik mahupun hospital berdekatan sekiranya sebarang komplikasi berlaku kepada murid akibat musim panas,” katanya.

CATEGORIES