‘Najib perlu jawab kenapa projek Empangan Sungai Jerneh dibatalkan?’

‘Najib perlu jawab kenapa projek Empangan Sungai Jerneh dibatalkan?’

AYER KEROH 17 Feb. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak layak untuk memberi komen dan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu air di Melaka.

Tegas Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, ia berikutan, Najib sendiri merupakan individu yang bertanggungjawab membatalkan projek Empangan Sungai Jerneh pada tahun 2017, biar pun menyedari bahawa projek berkenaan begitu penting kepada rakyat negeri ini.

“Najib Razak harus memberi penjelasan mengapa jemaah menteri membatalkan projek Empangan Jerneh pada tahun 2017, walaupun ia adalah mustahak kepada rakyat dan sektor industri di Melaka.

“Saya tidak berminat untuk menyalahkan kerajaan yang lalu dalam isu air ini, tetapi adalah penting untuk menyatakan fakta-fakta dalam isu ini secara terbuka supaya orang ramai boleh memahami isu tersebut dengan lebih mendalam dan menyeluruh.

“Semenjak tahun 2006 lagi, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan kerajaan negeri telah menyatakan bahawa empangan baru diperlukan di Melaka untuk memenuhi permintaan air masa hadapan. Ini kemudiannya membawa kepada projek empangan tersebut pada tahun 2012, tetapi ia tidak disiapkan pada zaman kerajaan yang lalu.

“Malah, pada tahun 2016, bekas ketua menteri, (Datuk Seri) Idris Haron menyatakan bahawa Empangan Jerneh mesti disiapkan dalam tempoh dua tahun untuk mengelakkan krisis air.

“Tetapi, Najib Razak dan kerajaan pimpinannya bukan sahaja tidak mengendahkan amaran tersebut, malah telah membatalkan projek Empangan Jerneh pada tahun 2017.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang lepas telah gagal untuk merancang untuk kemapanan dan jangka masa panjang sumber air Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.

Poay Tiong menambah, kerajaan PH sepatutnya diberikan kredit yang sewajarnya dalam menangani isu air di Melaka, memandangkan sejurus sahaja mengambil alih pentadbiran, projek Empangan Jerneh telah diluluskan semula dan sudah memulakan pembinaannya sekarang.

“Apabila PH mengambil alih kerajaan pada tahun 2018, saya dengan serta merta telah menyusun suatu mesyuarat di parlimen untuk membincangkan projek Empangan Jerneh.

“Mesyuarat tersebut melibatkan SAMB, kerajaan negeri, dan kerajaan persekutuan.

“Hasilnya amat positif kerana semua pihak bersetuju untuk meneruskan Empangan Jernih memandangkan ia amat diperlukan. Sekarang, projek tersebut sedang berlangsung dan dijangka siap menjelang 2023.

“Walau bagaimanapun, kerajaan negeri sudah tentu tidak tunggu projek tersebut siap sahaja. Sejak 2019, pelbagai langkah jangka masa pendek dan jangka masa sederhana telah diambil untuk sumber air kita.

“Contohnya, kita telah meningkatkan jumlah air yang dibeli daripada Johor, mengepamkan air dari tasik dan kolam-kolam, dan menjalankan operasi pembenihan awan,” katanya lagi.

CATEGORIES