Nasib 12 peniaga tepi jalan dibela

PAYA RUMPUT 11 Feb. – Seramai 12 peniaga yang berniaga di tepi jalan di Cheng akan mendapat tapak baharu bagi menjalankan perniagaan mereka.
Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, ia berikutan lokasi digunakan sekarang tidak selamat.
Menurutnya, sama ada bagi peniaga ataupun pelanggan, kedua-duanya boleh terlibat dengan perkara buruk.
“Saya bimbang jika kemalangan berlaku ia boleh melibatkan peniaga di tepi jalan, bukan saja menyebabkan kecederaan dan
menggadai nyawa, tetapi mereka boleh hilang sumber pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) anjuran Japerun Paya Rumput dan Kerajaan Negeri, malam Sabtu lalu.
Jelas Mohd Rafiq, lokasi dipilih di kawasan sama, bagaimanapun pihaknya telah membina tapak perniagaan yang lebih selesa.
“Sehingga kini, semua 12 peniaga terbabit akan menerima tapak masing-masing dan kita hanya akan menambah dua tapak lagi untuk peniaga luar.
“Saya harap inisiatif ini dapat membantu mereka mencari rezeki dengan lebih terjamin,” katanya.
Sementara itu, Mohd Rafiq juga merancang pelbagai pendekatan bagi membantu meningkatkan tahap ekonomi penduduk di DUN tersebut.
“Antara yang bakal dilaksanakan, mempromosikan Masjid Cina di sini, sebagai lokasi pelancogan wajib dilawati.
“Kita akan bekerjasama dengan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) untuk merealisasikan usaha ini,” katanya.
Sementara itu, Majlis Sambutan TBC tersebut dihadiri kira-kira 2,000 masyarakat setempat.
Pada majlis itu, turut disampaikan sumbangan kepada tiga buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dalam DUN itu dirasmikan Ketua Menteri, Adli Zahari.
Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Wong Fort Pin dan ADUN Klebang, Gue Teck.