Nasihat penyokong kepada Zainal

Nasihat penyokong kepada Zainal

SELEPAS menerima kekalahan pertama musim ini, penyokong Melaka United (MU) berharap Pengendalinya, Zainal Abidin Hassan merehatkan awang importnya, Liridon Krashniqi ketika bertemu Kuala Lumpur bagi aksi kelima Liga Super, Mac depan.

Ketika Sang Kancil mula menunjukkan beberapa perubahan drastik musim ini, tinjauan komen di laman sosial mendapati penyokong mula mempertikai prestasi pemain kelahiran Kosovo itu selepas mendapati corak permainan berubah setiap kali digantikan.

Dalam masa sama, terdapat juga penyokong yang berpendapat Liridon masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Menurut Ahmad Najihin, beliau berpendapat posisi Mat Don wajar digantikan dengan pemain lain dan tidak sesuai digandingkan bersama Safiq Rahim di bahagian tengah.

“Pandangan saya, Mat Don tidak sesuai dengan simpanan bola lama dan membuang masa, lebih baik cari orang yang boleh ganti tempat dia, sayang Melaka dah sedap tetapi disebabkan seorang, ‘game’ jadi perlahan,” katanya.

Pandang Ahmad Najihin turut dipersetujui beberapa lagi penyokong lain dan berharap perubahan baharu akan dapat disaksikan ketika menentang KL.

Amirul Naeim turut meluahkan perkara sama terhadap perkara itu.

“Mat Don rehatkan dulu, bagi peluang pada pemain lain,” katanya.

Sementara itu, meskipun tewas tipis 2-1, kepada Harimau Selatan tempoh hari, penyokong juga yakin anak buah Zainal mampu bangkit dalam perlawanan seterusnya.

Dalam pada itu, Zainal dalam kenyataan di laman rasmi Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) berkata, keputusan berbeza berkemungkinan boleh dicatat, jika momentum pada babak pertama perlawanan dikekalkan, walaupun selepas Anselmo Casagrande dikeluarkan akibat kecederaan.

“Bagi saya ketika Casagrance ada pada separuh masa pertama kita mendapat ‘confident level’ yang baik, tetapi apabila kecederaan dihadapi beliau, nampak terencat sikit (perlawanan) dan seterusnya memberi dua gol kepada pasukan lawan.

“Jadi merugikan separuh masa pertama tapi mereka membuat kebangkitan yang baik pada babak kedua, namun malang apabila hanya dapat menjaringkan satu gol,” katanya.

Ketika bertemu Harimau Selatan di Larkin tempoh hari, Casagrande dikeluarkan akibatkan kecederaan pada minit ke-17 dan digantikan Deevan Raj.

CATEGORIES
TAGS