Negara maju 2020 : Malaysia sasar 30% peningkatan amalan kitar semula

AYER KEROH 28 Feb. – Malaysia menyasarkan peningkatan 30 peratus bagi amalan kitar semula barangan terpakai ke arah membentuk negara maju menjelang 2020.
Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Ab. Mutalib berkata, langkah itu akan dijalankan berterusan bagi memberi pendedahan orang ramai terhadap usaha pertingkatkan amalan kitar semula.
Katanya, di negeri ini sebanyak 17 peratus peningkatan amalan kitar semula dilakukan pihaknya sejak Disember tahun lalu.
Menurutnya, pelbagai langkah amalan kitar semula boleh dimanfaatkan orang ramai, sekali gus menjaga kebersihan, malah ia perlu berterusan melibatkan golongan masyarakat.
“Selain itu, SWCorp juga menjalankan program ‘i-Cycle’ di mana ia dikenali sebagai projek perintis melibatkan beberapa negeri terpilih di Malaysia.
“Melalui i-Cycle yang dijalankan di Kampung Tehel, kita juga bina sebuah rumah kompos bagi kegunaan penduduk sekitar.
“Di rumah ini, kita sediakan tempat pembuangan sisa makanan dan barang terpakai untuk diproses dalam pembikinan baja kompos dan kitar semula.
“Penduduk yang hantar bahan buangan di sini, mereka akan ditukarkan dengan ‘token’ yang boleh ditebus dengan barang keperluan dapur.
“Kita dapati, Melaka direkodkan sebagai negeri yang mendapat maklum balas dan sokongan tertinggi dari penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Sehati Sejiwa Bersama SWCorp dan Pemimpin Masyarakat bagi Kawasan Melaka Tengah di Dewan Taming Sari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, pagi tadi.
Turut hadir merasmikan program, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew.
Sementara itu, Kok Kiew berkata, program itu bertujuan mendekatkan pemimpim setempat dengan agensi berkenaan, malah akan mewujudkan kesepakatan dalam tugas masing-masing.
Katanya, ia juga akan meningkatkan pemahaman peserta terlibat terhadap pendedahan pengurusan sisa pepejal.
‘Kita akan jalankan pelbagai kempen secara berterusan bagi pertingkatkan kebersihan negeri ini.
“Malah, masyarakat perlu buang sampah di tempat yang disediakan dan elakkan dari perkara yang memudahkan kebakaran kerana musim panas melanda negara,” katanya.