Nelayan gesa aktiviti korek pasir dikawal
Jangan hanya fikirkan keuntungan semata-mata

LUBOK CINA 27 Feb. – Ikan dan udang galah di beberapa sungai di sini yang menjadi sumber pendapatan nelayan dan buruan kaki pancing, dibimbangi pupus jika aktiviti mengorek pasir sungai tidak dikawal secara tegas.
Ini kerana aktiviti berkenaan menyebabkan proses penghasilan oksigen untuk membantu pertumbuhan ‘phyto plankton’ iaitu sejenis alga marin yang berfungsi sebagai sumber utama makanan ikan dan udang, terganggu.
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Sekolah Biologi Sains Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Amir Shah Ruddin Md Sah berkata, gangguan terhadap aspek berkenaan akan menyebabkan ikan dan udang berhijrah ke lokasi lain yang mempunyai sumber makanan lebih banyak.
“Ikan dan udang bergantung kepada phyto plankton sebagai bahan makanan utama tetapi apabila bahan itu tidak mampu hidup akibat gangguan penghasilan oksigen, maka hidupan sungai itu terpaksa berhijrah ke tempat lain.
“Secara evolusi, ikan dan udang akan pupus, sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan sungai,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada 50 pelancong yang menyertai aktiviti menyusuri Sungai Rembau oleh Eco Adventures yang disediakan Budiman Jaafar di Sungai Rembau, di sini kelmarin.
Program berkenaan adalah sempena Hari Pengembangan Perikanan Peringkat Negeri anjuran Jabatan Perikanan di Jeti Nelayan Kampung Paya Lebar di sini.
Turut hadir, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Datuk Seri Ruslin Hasan, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Johari Tim dan Timbalannya, Nawar Abdul Karim.
Pelancong terbabit dibawa menyusuri Sungai Paya Lebar hingga Sungai Rembau sepanjang kira-kira 10 kilometer untuk menyaksikan keindahan sungai yang dikelilingi hutan paya bakau yang masih terpelihara daripada pencemaran.
Selain itu, sebanyak 80,000 anak udang galah dilepaskan ke dalam Sungai Paya Lebar bagi mengekalkan sumber udang galah di sungai berkenaan yang setakat ini ekosistemnya masih terpelihara daripada pencemaran kilang dan ladang kelapa sawit, selain menyediakan sumber rezeki untuk nelayan sungai.
Program berkenaan dihadiri kira-kira 1,000 orang dari pelbagai pertubuhan belia, penuntut Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Alor Gajah, pegawai dan petugas Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan dan nelayan sekitar Kampung Paya Lebar, Ramuan Cina Kecil dan Teluk Berembang.
Johari berkata, keempat-empat sungai berkenaan amat penting sebagai pusat pembiakan udang galah dan ikan di negeri ini berikutan ekosistemnya yang dipenuhi hutan paya bakau.
“Ekosistem di kawasan ini terpelihara daripada pencemaran dan amat penting untuk dikekalkan sebagai kawasan agropelancongan berdasarkan kekayaan flora dan faunanya yang amat menarik kepada pelancong tempatan dan asing.
“Jabatan Perikanan meminta nelayan, penduduk kampung dan seumpamanya bersama-sama membantu mengekalkan keindahan alam semula jadi di kawasan ini kerana ia tiada di tempat lain di Melaka,” katanya.
Aktiviti mengorek pasir ditimbulkan nelayan yang mengusahakan Taman Lokan iaitu tempat pembiakan lokan di tebing Sungai Rembau, Zainal Abidin Md Ali, 65, yang mendakwa hasil tangkapan ikan dan udang galah semakin berkurangan sejak aktiviti itu dijalankan pada Oktober lalu selepas ia dihentikan sementara pada pertengahan tahun lalu.
Dia mendakwa, sejak pasir Sungai Rembau dikorek sebuah syarikat swasta, hasil tangkapan udang galah merosot hanya kepada satu kilogram (kg) sehari berbanding antara dua hingga empat kg sebelum itu.
Sehubungan itu, dia meminta Pejabat Daerah Alor Gajah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan bagi memastikan syarikat berkenaan menjalankan aktiviti mengikut kaedah dan syarat dibenarkan.