Neon Walk cari dana pesakit kanser

Neon Walk cari dana pesakit kanser

BANDARAYA MELAKA 27 Feb. – Program Neon Walk peringkat negeri Melaka yang akan diadakan di Dataran Restoran Melayu Melaka pada 15 Mac ini bagi mengumpulkan dana buat pesakit kanser sekali gus memupuk kesedaran masyarakat agar bersikap lebih prihatin.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Low Chee Loeng berkata, program berjalan kaki itu akan diadakan di sepanjang lima kilometer di sekitar Sungai Melaka.

Katanya, perlaksanaan program itu diadakan sebagai platform bagi mengumpul dana Relay For Life 2019 yang merupakan acara tahunan bagi The National Cancer Society Malaysia (NCSM).

“Program ini mampu memupuk kesedaran malah memberi sokongan masyarakat terhadap pesakit kanser, malah program ini akan mengumpulkan dana bagi aktiviti kesedaran kanser dan program saringan awal kanser yang dijalankan NCSM.

“Program berjalan kaki bertemakan cahaya ‘neon’ ini akan bermula pada jam 6 petang di Dataran Restoran Melayu Melaka pada 15 Mac ini.

“Saya harap penyertaan ini dapat disertai oleh segenap masyarakat dan kami menganggarkan sebanyak 3,000 penyertaan pada program ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Neon Walk di NCSM Melaka di sini, petang tadi.

Hadir sama, Pengurus Projek NCSM Bahagian Selatan, Michaelina Chua serta tetamu lain.

Sementara itu, Chua berkata, sebanyak RM450,000 akan dibelanjakan sepanjang tahun oleh organisasi itu di negeri ini bagi menjalankan pelbagai program kesedaran dan kesihatan.

Ujarnya, sebagai organisasi badan bukan kerajaan (NGO) tertua di Malaysia dan dianggarkan secara nisbah purata seramai seorang pesakit akan menghidapi kanser didaftarkan pada setiap bulan.

“Sehingga kini persatuan kami di negeri ini menerima lebih 300 sukarelawan bagi membantu dari segi pendidikan, kesedaran dan pelbagai lagi kepada pesakit dan orang ramai.

“Kami harap dengan perlaksanaan program itu nanti mampu memungut dana bagi meneruskan kelangsungan hidup kami sebagai NGO yang berbakti pada rakyat di negeri ini,” katanya.

 

CATEGORIES