NGO & MPKK bantu golongan sasar tanpa mengira kaum

NGO & MPKK bantu golongan sasar tanpa mengira kaum

CHUAN Wen menyampaikan barangan keperluan harian kepada Mohd Faizal di Kampung Pengkalan Rama.

Oleh AZHAR YUSOF

PENGKALAN RAMA 26 Okt. – Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kota Laksamana bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pengkalan Rama sentiasa prihatin membantu golongan sasar.

Antara bantuan disalurkan adalah bahan makanan, lampin pakai buang, kerusi roda dan sebagainya berdasarkan permohonan dan keperluan golongan itu.

Terbaharu, Japerun Kota Laksamana bersama NGO dan MPKK Pengkalan Rama menyalurkan bantuan kepada pesakit kencing manis, Mohd Faizal Hashim di kampung terbabit.

Pembantu Kebajikan Japerun Kota Laksamana, Lin Chuan Wen yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Low Chee Leong telah menyampaikan sumbangan tersebut kepada Mohd Faizal di Kampung Pengkalan Rama.

Pada majlis itu, NGO yang turut sama menyumbangkan kerusi roda kepada Mohd Faizal adalah Irwani Harapan Melaka.

Hadir sama, Penghulu DUN Kota Laksamana, Mohd Firdaus Abdul Wahid; Pengerusi MPKK Pengkalan Rama, Shahrizan Mahmud; Sidang Pengkalan Rama Pantai, Shaari Mohd Sharif dan Setiausaha MPKK Pengkalan Rama Pantai, Azizi Anual.

Turut hadir, Pengerusi Irwani Harapan Melaka yang juga jawatankuasa MPKK Pengkalan Rama, Zubaidah Abd. Jalil.

Chuan Wen berkata, sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, hampir 200 permohonan bantuan telah diterima di DUN terbabit dan sebahagiannya telahpun ditunaikan.

“Bantuan yang disalurkan melibatkan semua kaum,” katanya kepada MelakaKini ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada Mohd Faizal di Kampung Pengkalan Rama Pantai.

Pengerusi Irwani Negeri Melaka, Zubaidah berkata, Irwani Harapan Melaka yang baru ditubuhkan sejak PRU-14 lalu sentiasa bersedia membantu golongan memerlukan selepas mendapat maklumat dari Pengerusi-pengerusi MPKK.

“Bantuan disalurkan bukan hanya di sini saja, malah kita turut menyampaikan bantuan kepada golongan sasar di sekitar Negeri Melaka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Faizal, 37, mengucapkan terima kasih kepada Chee Leong dan Irwani Melaka yang hadir menyampaikan sumbangan kepadanya.

Kaki kiri Mohd Faizal telah dipotong pada tahun 2013 akibat kencing manis dan dua jari kaki kanan turut dipotong baru-baru ini akibat implikasi penyakit itu.

Dia yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta turut menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

CATEGORIES