NGO penting perjuangkan hak wanita

NGO penting perjuangkan hak wanita

AYER KEROH 28 Sept. – Golongan Badan Bukan Kerajaan (NGO) terus perjuangkan hak wanita kerana mereka mudah berinteraksi dengan masyarakat.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Ginie Lim Siew Lin berkata, NGO berperanan meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

Menurutnya, kerajaan sangat mengambil berat mengenai kebajikan NGO di negeri ini supaya tidak terabai dan tidak bergerak secara sendirian.

Katanya, kerajaan sentiasa memberi ruang kepada komuniti NGO menyuarakan pandangan dan menyambut baik perjuangan mereka dalam memperjuangkan hak wanita.

“Justeru, kita adakan persidangan dialog meja bulat bersama komuniti NGO wanita baru-baru ini di Seri Negeri bagi menghargai peranan mereka,” katanya.

Ginie berkata, hasil persidangan itu, satu jawatankuasa ‘working group’ terdiri golongan NGO wanita telah ditubuhkan.

Ujarnya, jawatankuasa ini bermatlamat memperkasakan pergerakan NGO wanita di Melaka dalam satu kumpulan.

Jelasnya, peranan NGO dalam meningkatkan martabat wanita dan membangunkan masyarakat sangat penting.

“Melalui penubuhan jawatankuasa ini, saya yakin matlamat memperkasakan wanita hingga ke peringkat akar umbi akan memberi impak positif pada masa akan datang,” katanya.

Pada persidangan itu turut diadakan taklimat mengenai Peruntukan Bantuan Khas Perbendaharaan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat kepada komuniti NGO.

“Bantuan khas itu adalah dana dari pihak Kementerian Kewangan (MOF) melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kepada NGO yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya.

Menurutnya, ia bagi melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan khususnya di peringkat akar umbi.

Katanya, pihak NGO turut diberi peluang untuk suarakan keperihatinan mereka terhadap isu-isu melibatkan wanita dan cadangan perkasakan wanita di Melaka.

Persidangan itu dihadiri 56 peserta dari 31 NGO, pemimpin wanita Melaka, kakitangan kerajaan negeri iaitu PDRM, JKM, Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka dan lain-lain.

CATEGORIES
TAGS