Nikmati pakej Edu-Pelancongan UTeM

DURIAN TUNGGAL 5 Mac – Pelancong dalam dan luar negara boleh menikmati pakej Edu-Pelancongan berkonsepkan ‘Learning is Fun’ di Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim berkata, gerbang itu dibuka bagi memasarkan pusat pelancongan UTeM.
Katanya, produk pelancongan UTeM adalah hasil penyelidikan yang diterjemah dan dipakejkan secara santai, menarik dan berkualiti.
“Terdapat beberapa pakej Edu-Pelancongan yang ditonjolkan antaranya aktiviti sukan dalam kampus seperti berkayak di tasik, mengayuh basikal, jungle tracking, flying fox.
“Pakej ini bagi memberi manfaat kepada masyarakat, sekali gus memperkenalkan lagi UTeM ke persada dunia,” katanya.
Pada majlis itu, turut diadakan persembahan tarian Melayu, silat dan gendang Cina, pemanduan kenderaan elektrik dan kayuhan beca elektrik ciptaan penyelidik UTeM.
Terdapat juga program lain seperti, Kem Arduino Robotik, Kem LEGO Robotik, kursus asas pemasangan solar, pengendalian drone dan aktiviti keusahawanan.
Zulkifilie berkata, hasil lawatan tapak ke beberapa produk Edu-Pelancongan UTeM Januari lalu, Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) memberi lampu hijau agar Edu-Pelancongan UTeM boleh dipasarkan.
“Ia diumumkan secara rasmi menerusi Bengkel Penetapan Pakej Pelancongan pada 25 dan 26 Februari lalu bersama MOTAC dan Tourism Malaysia.
“Bengkel tersebut disertai 16 agensi pelancongan terpilih yang berpengalaman mempromosi dan mengetengahkan produk-produk pelancongan berasaskan pendidikan di negara ini,” katanya.