Noor Afiqah kuasai bahasa isyarat bantu orang pekak sebar dakwah

Noor Afiqah kuasai bahasa isyarat  bantu orang pekak sebar dakwah

BANDARAYA MELAKA 29 Okt. – Pegawai agama dan para pendakwah disaran mengikuti kursus pembelajaran bahasa isyarat bagi mempersiapkan diri membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdepan masalah pendengaran dalam usaha menyebarkan dakwah.

Sukarelawan, Noor Afiqah Che Mustapa, 24, berkata, usaha itu perlu dipergiatkan memandangkan ramai OKU bermasalah pendengaran beragama Islam tidak pernah mengaji al-Quran, tidak faham makna solat dan kadar perceraian dalam kalangan mereka agak tinggi.

Menurutnya, golongan OKU ini mengalami masalah ketidakupayaan dalam aspek pertuturan dan pendengaran.

Katanya, mereka menghadapi masalah keterbatasan untuk melibatkan diri dalam aktiviti sosial khusus dalam program agama kerana masalah bahasa isyarat.

“Atas kesedaran itulah saya berinisiatif untuk menguasai bahasa isyarat kerana ia adalah komunikasi asas penting buat komuniti OKU, terutama bagi golongan pekak dalam usaha meningkatkan aktiviti dakwah untuk OKU pendengaran.

“Masih ramai beranggapan bahasa isyarat hanya perlu dipelajari oleh golongan pekak hingga mengakibatkan  OKU yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan terus disisih dan dipinggirkan daripada kegiatan kemasyarakatan,” katanya yang juga lepasan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini kepada MelakaKini.

Noor Afiqah turut berpengalaman mengendalikan kes-kes syariah melibatkan OKU pekak semasa menjalani praktikal di Mahkamah Syariah Ayer Keroh, di sini.

Ujarnya, hal ini membimbangkan kerana jika hanya komuniti peka yang memahami bahasa isyarat, siapakah akan mendengar suara mereka dalam kesusahan dan bagaimana mereka ingin menyampaikan mesej kepada golongan normal?

“Jadi, sewajarnya masyarakat OKU diberi penghormatan dan perlindungan dari orang sekeliling. Dalam hal ini, tidak keterlaluan jika dikatakan pihak kerajaan adalah badan utama memainkan peranan penting dalam membantu golongan OKU.

“Antara bantuan yang boleh diberi ialah mewujudkan kursus bahasa isyarat kepada masyarakat untuk sama-sama mempelajari kaedah komunikasi golongan pekak,” katanya yang turut mengajar masyarakat normal terutama kariah masjid mempelajari bahasa isyarat.

Noor Afiqah yang kini melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  juga menepis sikap segelintir masyarakat yang sering menjadikan kecacatan OKU sebagai penghalang keupayaan golongan istimewa ini menyertai aktiviti kemasyarakatan dengan lebih berkesan.

Justeru itu, Noor Afiqah yang pernah menyertai Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS) anjiran Fakulti Quran dan Sunnah USIM semasa tempoh pengajiannya semakin giat membantu mereka menyelesaikan pelbagai masalah yang berkait dengan hukum agama.

Katanya, di Malaysia, tidak semua orang tahu bahasa isyarat, kadang-kadang ramai berminat, tetapi tidak tahu belajar.

Berbanding OKU cacat pendengaran,  kebanyakan mereka mendapat pendedahan di sekolah pendidikan khas serta institusi atau persatuan yang menyediakan kelas khusus bagi memudahkan mereka berinteraksi.

“Bagi saya, orang normal juga perlu belajar asas bahasa isyarat bagi memudahkan mereka berinteraksi dengan golongan OKU.

“Ini kerana dalam sesetengah kes pekak teruk, ada juga yang memakai alat pendengaran tidak dapat mendengar. Justeru, pentingnya mempelajari bahasa isyarat ini.

“Saya pernah berdepan dengan pasangan suami isteri pekak yang bercerai, tetapi masih tinggal serumah dan tidur bersama kerana tidak tahu hukum sebenar penceraian tersebut.

“Sebaliknya, mereka beranggapan perceraian hanyalah perasaan tidak suka dan bukan perlu tinggal berlainan rumah dan mereka tidak lagi bergelar muhrim.

“Dalam satu kes lain, saya didatangi oleh seorang OKU pekak yang tidak pernah bersolat kerana tidak tahu dan tidak faham bagaimana mendirikan solat serta hukumnya.

“Jadi, saya berusaha memberi penerangan dan mengajar mereka supaya bersolat dan patuh pada agama,” katanya yang bercita-cita menjadi peguam bagi OKU pekak kerana tuntuan kes sedemikian amat besar permintaanya.

CATEGORIES