Norhizam tepis kenyataan Idris

Norhizam tepis kenyataan Idris

AYER KEROH 19 Feb.- Exco Pertanian dan Pembangunan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee menepis kenyataan di laman sosial Facebook milik Ketua Pembangkang Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkenaan isu ikan laga yang mahu diketengahkan kerajaan negeri untuk belia di negeri ini, baru- baru ini.

Norhizam menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan ketua pembangkang itu sebagai satu isu yang sengaja untuk dimainkan dan tidak perlu diperbesarkan.

“Saya menepis kenyataan dia (ketua pembangkang) dan saya rasa dia mungkin tidak memahami konteks yang saya cuba sampaikan.

“Saya beri penekanan mengenai isu ikan laga yang dibawa oleh Idris, mesej yang disampaikan khusus buat generasi muda dan belia yang ingin menjana pendapatan sampingan bukan untuk nelayan, tetapi sekiranya ada di antara nelayan yang ingin membela atau menjual ikan laga ini, tiada salahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Seri Negeri, petang tadi.

Memetik kenyataan dan muat naik keratan berita MelakaKini di laman Facebook Ketua Pembangkang semalam, Idris dilihat memperlekehkan usaha Norhizam dalam menaikkan industri ikan laga di Melaka.

Jelas Norhizam, bersempena Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM2019), ikan laga atau dikenali sebagai ikan Betta telah diangkat menjadi salah satu produk identiti negeri.

“Bagi saya apa yang di muat naik di Facebook beliau dengan kata-kata seolah memperlekehkan usaha saya, adalah persepsi beliau dan jika beliau tidak bersetuju dengan alternatif saya, itu terpulang,” katanya.

CATEGORIES