OK Group beri 14 hari mohon maaf atau saman

OK Group beri 14 hari mohon maaf atau saman

PENGARAH Urusan Orang Kampung Group Sdn. Bhd. (OK Group) , Habibul Ajmi Manggar menunjukkan keratan media yang menjejaskan reputasi syarikat, OK Group pada sidang media berhubung perkara tersebut, pagi tadi.

 

SERKAM 12 Jun – Syarikat pengeluar produk kesihatan dan herba, Orang Kampung Group Sdn. Bhd. (OK Group) memberi tempoh 14 hari untuk memohon maaf secara terbuka kepada media tempatan yang didakwa menyebarkan kenyataan palsu berhubung produk syarikat itu yang dimiliki individu terkaya Malaysia, Tan Sri Robert Kuok.

Pengarah Urusannya, Habibul Ajmi Manggar berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana cuba mengaibkan pembeli, menjejaskan imej dan memudaratkan aliran keuntungan syarikat.

“Sejak tersebarnya fitnah ini di media sosial, syarikat kami menerima banyak mesej dan panggilan terhadap perkara ini.

“Saya menegaskan OK Group adalah jenama Bumiputera dan menafikan sekeras-kerasnya kesemua kenyataan disebarkan, perkara ini secara tidak langsung menjejaskan reputasi kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung perkara berkenaan di Wisma OK Group, hari ini. Mengulas lanjut, OK Group telah melantik firma guaman, Damian S.L. Yeo & L.C berhubung perkara itu.

Menurut peguam syarikat itu, Damien Yeo Shen Li, beliau telah menasihatkan anak guamannya untuk membuat laporan polis dalam masa terdekat supaya tindakan undang-undang dapat diambil.

Katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membawa kes ini ke mahkamah, jika tiada permohonan maaf diterima dalam masa 14 hari.

“Kita perlu permohonan maaf secara terbuka atas budi bicara kami sebelum bawa kes ini ke mahkamah.

“Ia amat besar kerana melibatkan reputasi syarikat, setakat hari ini tiada pihak yang menelefon pihak syarikat untuk mengesahkan berita itu sebelum menyebarkannya,” katanya.

Tempoh hari, laman sosial dibanjiri kenyataan palsu bertajuk ’20 produk yang kamu tidak ketahui dimiliki Robert Kuok’ di mana kenyataan itu menerima pelbagai reaksi dari netizen.

CATEGORIES