OKP dekati diri dengan program masjid

OKP dekati diri dengan program masjid

JASIN 18 Feb. – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jasin melaksanakan program ‘Geng Surau’ melibatkan 70 orang kena pengawasan (OKP) dan komuniti setempat di Masjid An-Nur Taman Maju, baru-baru ini.

Pengarah AADK Melaka, Nazir Mohamad berkata, program itu menjadikan masjid sebagai platform mengeratkan hubungan antara komuniti dan OKP seterusnya ,menghapuskan stigma negatif terhadap bekas OKP.

“Program ini membolehkan OKP mendekatkan diri dengan masjid dan melibatkan diri dalam program berbentuk keagamaan bagi membantu memulihkan diri.

“Selain itu pelantikan geng surau dalam kalangan OKP akan menjadi ikon penggerak dalam merangka dan melaksanakan program keagamaan yang melibatkan OKP beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Geng Surau’ sempena Sambutan Bulan Antidadah Tahun 2020 bertemakan ‘Kemakmuran dan Kesejahteraan Bersama’ di Masjid An-Nur Taman Maju, baru-baru ini.

Pada program itu, pelbagai aktiviti diadakan seperti solat Dhuha berjemaah, penyampaian mesej antidadah dan aktiviti memanah.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Masjid An-Nur, Hamzah Taib.

CATEGORIES