Omar & Hana terbit lagu antarabangsa pertama

Omar & Hana terbit lagu antarabangsa pertama

ANIMASI popular kanak-kanak ‘Omar & Hana’ melebarkan sayap menerusi jalinan kerjasama bersama penyanyi nasyid dari Afrika Selatan, Zain Bhika bersama pelawak, pelakon dan pengarah kelahiran Amerika Syarikat, Omar Regan.

Menariknya, kerjasama tersebut dijayakan menerusi kolaborasi lagu berjudul ‘Everything Belongs to Allah’.

Istimewanya, lirik lagu tersebut ditulis sendiri oleh Zain Bhika dan mendapat sentuhan akhir dari pihak Digital Durian untuk disesuaikan dengan citarasa kanak-kanak.

Menerusi lirik yang ringkas dan mudah difahami, Zain Bhika menerapkan mesej murni bahawa setiap benda yang ada di dunia ini hanyalah pinjaman dan dimiliki Allah SWT.

Zain turut menggabungkan elemen hidupan liar serta keindahan alam semula jadi dalam lagu ini untuk menarik minat kanak-kanak.

Penerbit Omar & Hana, Fadilah A.Rahman berkata, semua sedia maklum bahawa kanak-kanak sentiasa teruja menerokai perkara baharu dalam hidup mereka.

“Mereka dilihat memilih meneroka dunia digital bagi mendapatkan kandungan atau informasi terkini.

“Melihat akan trend ini, kami di Digital Durian terdorong untuk memperkenalkan animasi Omar & Hana sebagai salah satu medium kepada kanak-kanak kanak-kanak belajar mengenai asas-asas agama Islam dan mengingatkan mereka mengenai nilai moral dengan cara mudah, menghiburkan serta interaktif,” katanya.

Muzik video rasmi ‘Everything Belongs to Allah’ yang mula menemui peminat pada 18 Januari lalu di laman Youtube telah mencatat lebih 150,000 jumlah tontonan.

Berlatarbelakangkan safari di Afrika Selatan, muzik video ini turut menampilkan watak animasi Zain Bhika dan Omar Regan.

CATEGORIES