Op Didik tingkat pemahaman cegah jenayah

Op Didik tingkat pemahaman cegah jenayah

PAYA RUMPUT 8 Mac – Op Didik menjadi medium mendedahkan kepentingan mencegah jenayah dalam kalangan pelajar sekolah.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput, Rubiya Abu Nawas berkata, pelaksaanaan program itu sekali gus meningkatkan pemahaman pelajar agar mematuhi peraturan dan undang-undang sekolah.

“Pihak sekolah memberikan komitmen penuh untuk memastikan program pencegahan jenayah ini dijayakan sebaiknya.

“Saya yakin ia juga menjadi pendekatan terbaik untuk mendisplinkan anak-anak di sekolah ini,” katanya selepas program tersebut di SMK Paya Rumput, baru- baru ini.

Program tersebut turut melibatkan dua pegawai kanan dan lapan anggota Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Jelas Rubiya, inisiatif tersebut diharapkan dapat membuka mata pelajar supaya tidak sesekali melibatkan diri dengan perkara yang mengundang kepada jenayah.

“Zaman semakin maju dan canggih mendorong kepada pelbagai kes jenayah yang melibatkan pelbagai peringkat umur.

“Semoga inisiatif diambil pihak sekolah dan IPK dapat mencegah mereka dari melakukannya,” katanya.

Menerusi program yang melibatkan seramai 1,300 pelajar dan guru itu, pelbagai aktiviti disusun termasuk ceramah pencegahan jenayah yang disampaikan Pegawai Turus Kepolisan Komuniti IPK Melaka, P/DSP Nor Azlinda Nordin, penerangan mengenai kesalahan lalu lintas oleh Pegawai Turus Penguatkuasa dan Kawalan Lalu Lintas IPK Melaka, ASP K. Mahadevan dan penyampaian sijil pelantikan pemimpin- pemimpin SMK Paya Rumput 2019.

 

CATEGORIES