OP Selamat: Kes kemalangan meningkat, manakala jumlah kematian menurun

KUALA LUMPUR 5 Jan. – Op Selamat 16/2020 Tahun Baru Cina yang bermula 18 Januari dan berakhir 1 Februari lepas, mencatatkan peningkatan kemalangan sebanyak 11 peratus atau 2,379 kes, iaitu 23,208 kes berbanding 20,829 kes tahun lepas.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata peningkatan kadar itu adalah termasuk kadar kematian, kemalangan dan kemalangan maut.
“Bagi jumlah kematian, berlaku peningkatan 230 kes atau enam peratus pada tahun ini berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 216 kes.
“Secara purata, kadar kes kematian yang dicatatkan pada hari-hari biasa adalah sebanyak 17 kematian sehari. Namun dengan adanya operasi ini, ia berjaya diturunkan kepada 15 kematian dalam sehari,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 16 sempena Tahun Baru Cina di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Selain itu, Mazlan berkata jumlah kes kemalangan maut juga merekodkan peningkatan sebanyak sembilan kes iaitu 206 pada tahun ini berbanding 197 kes tahun lepas.
Tambahnya, pengguna motosikal adalah penyumbang kepada angka korban tertinggi iaitu 147 kematian diikuti pengguna kereta yang merekodkan sebanyak 52 kematian.
“Selain itu, jumlah saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu adalah 399,998 saman,” katanya.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata berdasarkan analisis, sikap kecuaian pemandu dan penunggang motosikal menjadi penyumbang tertinggi kemalangan.
“Faktor kecuaian dan kurang kesedaran terhadap aspek-aspek keselamatan jalan raya, menjadi penyumbang kepada kes kematian melibatkan pejalan kaki.
“Kecuaian ketika keluar atau masuk simpang, memasuki laluan bertentangan, cuba memotong kenderaan lain atau menukar laluan, mengekori kenderaan lain terlalu rapat, membuat pusingan ‘U’ serta melawan aliran trafik, adalah faktor yang menjadi penyumbang utama kepada kemalangan maut melibatkan kenderaan,” katanya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Perak Tengah masing-masing diumumkan sebagai kontinjen dan daerah terbaik dalam Op Selamat 16/2020 Tahun Baru Cina.
— BERNAMA