Op TBC : 181 saman dikeluarkan

BANDARAYA MELAKA 4 Feb. – Sebanyak 181 saman dikeluarkan dalam Op Tahun Baharu Cina (TBC) di beberapa lokasi di bandaraya ini.
Operasi itu melibatkan Dataran Klebang, Jalan Pesisir Pantai Klebang dan Jalan KU 2, Klebang bermula jam 11 malam hingga 3.10 pagi, Sabtu lalu.
Operasi itu melibatkan Cawangan Trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Cawangan Trafik Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Jasin serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, polis melakukan pemeriksaan ke atas 332 buah motosikal dan tiga kereta serta menyita 32 motosikal membabitkan pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki lesen kenderaan, tidak mempamerkan cukai jalan, nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut peraturan serta ubah suai kenderaan,” katanya kepada media.
Jelas Afzanizar, dalam operasi tersebut, tujuh lelaki didapati memiliki waran tangkap turut ditahan.
“Seorang dari lelaki yang ditahan berusia 32 tahun didapati positif dadah jenis Methamphetamine, dia ditahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Manakala empat darinya miliki tiga waran tangkap, seorang dua waran tangkap, manakala dua lagi satu waran tangkap dan enam lagi ditahan berusia 19 hingga 25 tahun,” katanya.
Pada operasi tersebut, sebanyak 189 kesalahan dikesan hasil pemeriksaan seramai 335 individu.