OPA: Melaka tidak akan berhenti berusaha mendapatkan hujan

BUKIT BARU 12 Feb. – Melaka tidak akan berhenti berusaha untuk mendapatkan hujan melalui operasi pembenihan awan (OPA).
Meskipun, dua operasi yang dijalankan pada Ahad dan Isnin lalu tidak memberi hasil seperti diharapkan.
Ujar Ketua Menteri, Adly Zahari, pihaknya akan meneruskan operasi pembenihan awan itu, jika ada keperluan dan semuanya bergantung kepada struktur awan dalam masa terdekat ini sama ada bersesuaian atau tidak.
“Antara salah satu inisiatif untuk kita dapatkan hujan ialah melalui pembenihan awan dan operasi ini adalah berdasarkan kepada struktur awan itu sendiri.
“Jadi, dalam dua siri yang telah kita buat memang ada hujan, tetapi kadarnya agak kecil berbanding yang diharapkan.
“Jadi, kita akan lihat semula struktur awan sedia ada, jika ada keperluan kita akan teruskan.
“Memanglah, kadang-kala operasi ini boleh berjaya atau gagal, tetapi kita di peringkat kerajaan negeri tidak akan sesekali berhenti dengan usaha yang kita buat.
“Jika kita rasa ada ruang dan keperluan untuk memastikan negeri ini mendapat hujan melalui pembenihan awan, kita akan teruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri usai menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Baru, sebentar tadi.
Mengulas mengenai kos yang diperlukan untuk setiap operasi pembenihan awan, Adly menjelaskan bahawa ia tidak tetap dan berbeza-beza, serta bergantung kepada setiap syarikat yang menjalankan operasi berkenaan.
Namun, ujarnya nilai maksimumnya boleh mencecah sehingga RM200,000 bagi setiap operasi.