Operasi rumah sembelihan babi moden tunggu kelulusan

AYER KEROH 19 Mac – Rumah Penyembelihan babi moden atau ‘abattoir’ yang siap dibina di Paya Mengkuang, Kuala Sungai Baru akan mula beroperasi selepas mendapat kelulusan Kementerian Pertanian dan Asas Tani.
Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi, Norhizam Hassan Baktee berkata, sekiranya ia sudah beroperasi kelak, ‘abattoir’ sedia ada akan ditutup dan dirobohkan.
Katanya, langkah itu bagi memastikan isu pencemaran yang sering diadu oleh penduduk setempat berpunca dari air kumbahan haiwan tersebut sebelum ini tidak lagi berulang sehingga berlaku pencemaran air dan bau.
Jelasnya, langkah itu dilihat bertepatan dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan Perladangan Babi Moden (MPF) sebagai usaha mentransformasikan penternakan babi di negeri ini.
“Bila ada peladangan babi moden, najis kumbahan seperti air kencing, darah penyembelihan disalurkan dengan cara yang betul. Jadi tak ada masalah dan kita akan pantau dari masa ke semasa,” katanya.
Norhizam (DAP-Pengkalan Batu) berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ismail Othman (BN-Kuala Linggi) mengenai peladangan babi moden sama ada telah digunakan ataupun sebaliknya.
Tambah Norhizam, lokasi MPF juga tidak akan dipindahkan ke tempat lain dan akan terus kekal di Paya Mengkuang.
“Lokasi MPF akan dikekalkan kerana di kawasan itu telah ada tempat bagi pengasingan air kumbahan dan untuk dipindahkan sudah pasti ia satu pembaziran dan memerlukan kos yang agak besar.
“Kita tak ada masalah untuk mengekalkan kerana MPF memang dah dibina dengan jutaan ringgit, agak rugi sekiranya dipindahkan ke tempat lain dan tidak diguna pakai.
“Saya bersama Jabatan Veterinar sendiri turun padang dan mereka membuat pengiraan binatang itu dengan dipantau oleh saya,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa memantau aktiviti penternakan babi dan membuat bancian semasa dengan merekodkan kira-kira 40,215 ekor babi termasuk 4,333 kategori babi induk dengan had kuota kerajaan negeri sebanyak 48,300 ekor.
Sementara itu, beliau turut menyatakan tiada babi yang dibela di Melaka yang dieksport ke Singapura atau luar negara.
“Jika eksport ke luar negeri seperti di Selangor, kita memang ada lakukan, ia bagi memenuhi permintaan daging binatang itu yang tinggi dalam negara,” jelasnya ketika menjawab soalan dari Datuk Wong Fort Pin (DAP-Bemban).